Thursday, February 27, 2014

PT : Hikayat Seri Kelantan


Hikayat Seri Kelantan 

Sinopsis
Seorang raja bernama Encik Siti yang memerintah negeri kelantan ataupun namanya ketika itu ialah Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Beliau merupakan seorang perempuan yang mampu memerintah sebuah negeri yang sangat besar kerajaannya dengan adil dan bijaksana. Namun, Encik Siti ini tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai suami. Encik Siti telah mendengar kabar berita bahawa ada seorang anak raja Jembal yang sangat baik rupanya dan baginda berhajat mahu mengambil anak tersebut daripada Raja Jembal sebagai anak angkat kerana baginda sangat menginginkan seorang anak disebabkan baginda tidak mempunyai anak. Oleh itu Raja Jembal telah menyerahkan anaknya ynag bernama Puteri Sa’dung kepada Encik Siti. Encik Siti sangat menyayangi Puteri Sa’dung dan apabila puteri itu membesar, beliau mempunyai rupa paras yang sangat cantik dan menjadi dambaan para lelaki. Namun, En Siti telah mengambil langkah menjodohkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah iaitu anak Raja Jembal. Niat En Siti adalah mahu mencari seseorang bagi menggantikan tempatnya sebagai raja sekiranya baginda meninggal dunia. Majlis perkahwinan Puteri Sa’dung dan Raja Abdullah dijalankan selama empat puluh hari empat puluh malam.

Setelah berkahwin En Siti menyerahkan takhta negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kepada Sultan Abdullah dan En Siti juga berpindah dari istana tersebut dan membina kerajaan baru. Namun, ada sebuah kerajaan di Siam yang rajanya sangat suka dan berahi kepada Puteri Sa’dung kerana beliau mendengar cerita tentang kecantikan yang dimiliki oleh Puteri Sa’dung. Raja kerajaan negeri Siam telah mengarahkan beberapa orang suruhannya termasuk seorang ahli nujumnya yang bernama Tuk Cha untuk datang ke kerajaan Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung bagi mengambil Puteri Sa’dung kerana raja Siam sudah tidak mampu menahan nafsunya terhadap Puteri Sa’dung lagi.

Setelah sampai di negeri Tanah Serendah Kebun Bunga, seorang orang suruhan dari Siam datang untuk bertemu dengan Sultan Abdullah untuk menyatakan hasrat mereka datang kemari dan mengambil Puteri Saadong untuk dibawa kepada Raja Siam. Oleh kerana mendengar kata-kata orang suruhan kerajaan Siam itu, Sultan Abdullah sangat marah dan menghalau orang suruhan tersebut dari istana dan orang suruhan Siam kembali ke kapal dengan perasaan sangat malu. Esoknya, orang Siam telah meyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga bagi mengambil Puteri Sa’dung. Namun, dengan kuasa yang ada negeri Tanah Serendah Kebun Bunga berjaya berpindah dari kawasan sebenar ke tengah hutan. Akibatnya, orang Siam tidak dapat mencari negeri tersebut namun dengan bantuan Tuk Cha beliau berupaya menjumpai semula negeri itu. Sekali lagi negeri itu diserang.

Sultan Abdullah yang tidak mampu menahan serangan itu akhirnya mengambil tindakan pergi bertemu dengan Tuk Cha dan bertanyakan apa sebabnya mereka tidak habis-habis menyerang negeri itu dan setelah diberitahu oleh Tuk Cha, Sultan Abdullah pulang dengan perasaan yang sedih kerana menurut Tuk Cha, mereka mahu mengambil isteri Sultan Abdullah iaitu Puteri Sa’dung untuk dibawa kepada raja mereka. Setelah mendapati suaminya sudah pulang dari kapal Siam, Puteri Sa’dung bertanyakan kepada suaminya apa sebabnya dan Sultan Abdullah menyatakan bahawa tentera Siam mahu mengambil Puteri Sa’dung untuk dibawa ke Siam. Atas rasa bertanggungjawab terhadap rakyat dan mendengar titah suaminya Puteri Sa’dung terpaksa bersetuju untuk dibawa ke Siam.

Setelah sampai di Siam, Raja Siam telah cuba untuk meniduri Puteri Sa’dung namun belum sempat raja Siam mendekati Puteri Saadong, beliau sempat meludahi di bahagian dada raja Siam. Akibatnya, raja Siam terkena penyakit kayap yang tidak dapat diubati. Setelah mendengar perkabaran daripada Tuk Cha bahawa penyakit kayap raja Siam akan sembuh apabila raja Siam berjauhan dengan Puteri Sa’dung lalu raja Siam mengambil tindakan menghantar semula puteri itu ke negaranya. Setelah Puteri Sa’dung dihantar semula penyakit yang menimpa raja Siam kembali sembuh.

Setelah sampai di negaranya Puteri Sa’dung mendapat tahu bahawa Sultan Abdullah telah berkahwin lain selepas pemergiannya ke negeri Siam. Akibatnya, Sultan Abdullah tidak mahu menerima Puteri Sa’dung semula lalu berlaku pergaduhan antara mereka yang mengakibatkan kepala Puteri Sa’dung dipenggal oleh Sultan Abdullah dan meninggal dunia. Oleh kerana rasa bertanggungjawab inang-inang telah membawa Puteri Sa’dung dan mengubatinya dengan menggunakan air renjisan mawar yang berada dalam sanggul Puteri Sa’dung. Selepas itu, Puteri Sa’dung hidup semula dan beliau sangat marah dengan Sultan Abdullah dan akhirnya Puteri Sa’dung berjaya membunuh Sultan Abdullah. Setelah itu Puteri Sa’dung meninggalkan istana kota Jelasin dan mencari kawasan baru untuk membina sebuah negeri. Setelah itu, Puteri Sa’dung menyerahkan takhta negeri itu kepada adik iparnya Raja Ibrahim. Namun pemerintahan negeri itu mula bergolak kerana rajanya sangat zalim terhadap rakyat dan ada juga rajanya yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keamanan negara. Oleh itu, raja negerinya mula bertukar ganti sehingga berlaku pertempuran dan saudara di Kelantan. 

No comments:

Post a Comment