Sunday, June 22, 2014

PPT 2014 : Langkah Menangani Buli

LANGKAH MENANGANI MASALAH BULI


Masalah membuli di sekolah patut ditangani dengan segera supaya tidak menjadi barah yang akan merosakkan pelajar dan sistem persekolahan. Isu gejala buli ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar-pelajar malah ibu bapa juga menerima kesannya. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam menangani gejala buli di kalangan pelajar sekolah.

lbu bapa perlu memainkan peranan utama dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak sama ada dalam bentuk nasihat dan contoh yang baik. Seperti yang kita maklum kebanyakan masa anak-anak dihabiskan bersama ibu bapa di rumah. Oleh itu, ibu bapa juga mesti menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak pada setiap masa. Malah, pendidikan berbentuk agama juga penting kepada anak-anak agar mereka dapat berkelakuan baik dengan sesiapa sahaja. Di samping itu, teguran secara berhikmah juga wajar dilakukan kepada anak-anak yang berkelakuan negatif sejak kecil lagi

Peranan media massa juga amat penting dalam membendung masalah buli di kalangan pelajar. Kuasa media massa dalam mempengaruhi minda pembaca memang tidak dapat disangkal lagi. Banyak rencana-rencana yang dapat memberi kesedaran kepada pembaca, khasnya pelajar sekolah boleh disiarkan dalam media massa. Media elektronik pula boleh menyiarkan berita keburukan buli kepada pelajar dan ibu bapa. Oleh itu, pihak media massa mestilah sedar tanggungjawab sosial mereka untuk menangani masalah buli.

Di samping itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam membendung gejala buli. Hal ini kerana apabila seseorang pelajar berada di sekolah, mereka terikat dengan undang-undang dan peraturan sekolah. Sebagai contoh pelajar perlu diingatkan tentang keburukan amalan buli terhadap diri sendiri dan pihak lain. Pelajar-pelajar yang didapati melakukan amalan buli hendaklah segera diberi kaunseling dan pihak sekolah hendaklah memanggil ibu bapa pelajar berkenaan. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah tidak wajar menyembunyikan kes buli di kalangan pelajar daripada pengetahuan pihak Jabatan Pelajaran agar dapat diambil tindakan.

Oleh hal itu, semua pihak haruslah sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.

Thursday, June 19, 2014

PPT 2014 : KRG Wawancara

Karangan Wawancara
Anda berkesempatan mewawancara seorang anggota polis berpangkat inspektor tentang gejala lumba haram yang sering dilakukan oleh remaja pada masa ini.

Tulis wawancara itu selengkapnya.

Saya :
Selamat pagi, Tuan Inspektor Azim Sidek. Saya Razali dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian tuan diwawancara pada hari ini berhubung dengan gejala lumba haram dalam kalangan remaja, untuk dimuatkan dalam majalah sekolah kami.

Inspektor Azim :
Saya juga berterima kasih kepada pihak sekolah kerana mewawancara saya.

Saya:
Bolehkah Tuan Inspektor memberi penerangan lebih lanjut tentang kegiatan lumba haram yang kian menjadi-jadi sekarang?

Inspektor Azim:
Lumba haram merupakan satu bentuk perlumbaan bermotor yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Kegiatan ini biasanya dilakukan pada waktu tengah malam dan salah di sisi undang-undang kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain dan nyawa pelumba itu sendiri. Kegiatan lumba haram ini umumnya melibatkan golongan remaja yang berlumba tanpa menghiraukan keadaan trafik dan tindakan ini amat berbahaya.

Saya:
Apakah faktor yang menyebabkan gejala ini?

Inspektor Azim:
Antara faktor utamanya ialah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja mudah menerima ajakan rakan untuk berlumba kerana ingin dianggap berani. Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat akan pergaulan anak-anak juga menjadikan gejala ini berleluasa. Pengaruh filem seperti filem-filem aksi lumba serta penerbitan majalah kenderaan ubah suai, permainan video,  serta komik yang mengetengahkan aksi lumba, turut memainkan peranan. Perkara yang lebih buruk, ada pihak yang menjadi penganjur perlumbaan haram dengan menyediakan hadiah bagi pemenang.

Saya:
Bagaimanakah pihak polis menangani kegiatan lumba haram ini?

Inspektor Azim:
Pihak polis telah meningkatkan rondaan dari semasa ke semasa. Jabatan kami juga kini dilengkapi dengan kereta atau motosikal yang lebih laju dan berkuasa kerana selama ini pihak polis hanya dibekalkan dengan kenderaan talaan kilang yang kurang berkuasa dan tidak cukup laju untuk mengejar pelumba haram.  Kempen pemanduan berhemah turut diadakan di sekolah dan kawasan tumpuan awam. Selain itu, pihak polis juga mengenakan tindakan ke atas penonton perlumbaan haram kerana menggalakkan kegiatan ini.

Saya:
Apakah nasihat Tuan Inspektor untuk menangani kegiatan lumba haram?

Inspektor Azim:
Saya menasihatkan ibu bapa agar mengambil berat terhadap tingkah laku anak-anak untuk memastikan mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat. Masyarakat setempat juga diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kegiatan lumba haram yang berlaku di tempat mereka kepada pihak polis. Pihak polis juga mencadangkan agar aktiviti perlumbaan bermotor yang sah seperti Malaysian Cub Prix dan Pesta Pasti Honda diperbanyak untuk menggalakkan remaja menyertainya.

Saya:
Memandangkan masa tidak mengizinkan, saya rasa cukup setakat ini wawancara kita. Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Inspektor kerana sudi diwawancara.

Inspektor Azim:
Sama-sama.


Monday, June 16, 2014

PPT 2014 : Surat Kiriman Tidak Rasmi

SOALAN : Rakan akrab anda yang tinggal di luar negara telah mengutuskan surat kepada anda untuk mengetahui maklumat tentang pelancongan akua di negara anda. Balaslah surat tersebut.

Kepayan Ridge,Blok A9,
Lot 13, Tingkat Bawah,
88300 Kota Kinabalu,
Sabah.

24 April 2014.

Menemui sahabatku Cathy yang berada di Amerika Syarikat. Semoga saudari sekeluarga sihat walafiat di sana. Saya sekeluarga di Malaysia sihat sahaja.

Saudari,
     Surat saudari yang bertarikh 27 Mei 2014 telah selamat saya terima. Ya, Apa khabar saudari sekeluarga di Dallas, Amerika Syarikat? Bagaimana dengan pencapaian akademik saudari di sana? Sudah pasti cemerlang, bukan? Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada saudari kerana meminati  tempat-tempat perlancongan akua di Malaysia.

     Berbalik kepada pertanyaan saudari tentang pelancongan akua di Malaysia, saya akan memperkenalkan Pulau Manukan di Sabah,Malaysia. Di sana saudari akan mendapat peluang untuk menyelam skuba yang pelancong asing sering ingin mencuba. Selain itu, saudari juga berpeluang untuk bermain jet ski, ski air dan lain-lain lagi. Sememangnya saudari pasti tidak akan melupakan pengalaman di sana nanti.

     Selain Pulau Manukan, Pulau Tioman yang terletak di neger Johor merupakan antara pulau yang menarik di Malaysia. Saudari sudah pasti akan terpegun dengan keindahan pemandangan di dasar laut mahupun di pantainya. Saudari juga dapat berjumpa dengan spesies akuatik yang mempesonakan. Aktiviti menyelam, berkayak, menaiki jet ski sentiasa menjadi tumpuan pelancong asing mahupun tempatan.

     Di samping itu, Pulau Sipadan juga antara perlancongan akua yang menarik disebabkan keindahan semula jadi pulaunya serta terumbu karang yang unik. Pulau Sipadan pernah dicalonkan dalam '7 Wonders of the World'. Disebabkan ini, pulau ini kini menjadi tumpuan hangat pelancong asing dan juga pelancong tempatan. Saya jamin saudari pasti akan menikmati seluruh pemandangan di sana.

Sampai di sini sajalah untuk kali ini. Salam daripada saya dan keluarga. Ingin juga mengirimkan salam kepada keluarga saudari di sana. Sekian, terima kasih.

Sahabatmu,
Dexter