Tuesday, July 22, 2014

PT3 Modul Set2 Soalan 9(iii) Karangan

Masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Semakin hari, masalah ini semakin berleluasa. Nyatakan punca-punca timbulnya masalah sosial dan bagaimanakah kita boleh mengatasinya.

     Masalah sosial dalam kalangan remaja masa kini makin berleluasa. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita tentang masalah sosial remaja dipaparkan di muka akhbar mahupun di kaca televisyen. Antara masalah sosial remaja masa kini ialah merempit, ragut, curi motosikal, menagih dadah dan pergaulan bebas.

     Faktor diri remaja sendiri merupakan sebab berlakunya gejala sosial. Kebanyakan remaja yang terlibat dalam gejala sosial tidak mempunyai didikan agama dan moral yang mendalam. Mereka tidak takut pada dosa dan pembalasan Tuhan di atas perbuatan mereka. Remaja terbabit juga biasanya tidak sembahyang dan mengingkari perintah agama yang lain. Mereka berpendapat bahawa, kehidupan masa remaja perlu diisi dengan hiburan dan keseronokan semata-mata.

     Sikap ibu bapa juga boleh menyebabkan remaja terjerumus dengan gejala sosial. Terdapat ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan dan kasih sayang terhadap anak-anak. Sesungguhnya, anak-anak amat memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa. Ibu bapa  begitu sibuk dengan kerjaya bagi menambahkan pendapatan sehingga anak-anak terabai dan tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya. Sikap ibu bapa ini menyebabkan anak­-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya lalu mereka melakukan perkara-perkara negatif  untuk mehilangkan kebosanan dan tidak kurang juga ada yang melakukannya semata-mata untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka.

     Pengaruh rakan sebaya juga boleh mendorong remaja terlibat dalam gejala sosial. Disebabkan faktor pergolakan keluarga di rumah, remaja cenderung untuk berjumpa rakan sebaya bagi mencari ketenangan dan kegembiraan. Sebahagian daripada rakan sebaya ini pula adalah mereka yang mempunyai perangai negatif. Oleh itu, remaja begitu mudah terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya mereka. Apabila bersama rakan sebaya, remaja cenderung untuk melepak di pusat membeli-belah dan mendapatkan hiburan di pusat-pusat hiburan.

    Sikap masyarakat yang tidak mengambil berat tentang permasalahan remaja juga menjadi faktor penyebab. Masyarakat hari ini cenderung untuk bersikap individualistik dan tidak mahu 'menjaga tepi kain orang'. Bagi pendapat sesetengah masyarakat pula pihak yang perlu mengatasi masalah remaja ialah pihak kerajaan sahaja. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada remaja yang menagih dadah berdekatan dengan tempat tinggal mereka tetapi langsung tidak dipedulikan oleh masyarakat kerana mereka berpendapat bahawa, pihak kerajaan sahaja yang perlu menanganinya. Sikap masyarakat yang tidak ingin mengambil tahu tentang hal orang lain pasti akan menggalakkan lagi gejala sosial di kalangan remaja.

     Pengaruh media massa terhadap para remaja sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Remaja cenderung untuk melakukan perkara yang pernah didengar atau dilihat di media massa kerana remaja mempunyai naluri ingin mencuba. Sebenarnya sikap ingin mencuba ini adalah sikap yang baik tetapi bukan semua perkara boleh dicuba sewenang-wenangnya.

     Remaja adalah pewaris bangsa. Pemuda adalah harapan bangsa dan pemudi ialah tiang regara. Semua pihak harus memainkan peranan untuk mengurangkan masalah sosial yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Tuesday, July 15, 2014

PT3 Modul Set1 Soalan 9(iii) Karangan

PUNCA-PUNCA BANJIR KILAT

     Banjir kilat ialah banjir yang berlaku dengan serta-merta atau dengan tidak disangka-sangka. Banjir kilat adalah antara bencana alam yang kerap berlaku di Negara kita dan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap semua hidupan sehjingga boleh membawa kematian.

     Banjir kilat berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah akibat hujan berterusan. Hujan yang berterusan tanpa henti-henti selama beberapa jam akan menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Air yang memenuhi sungai akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawsaan tanah rendah dipenuhi air.

     Hutan yang berperanan untuk menyerap air hujan juga semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan air hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Apabila sungai tidak dapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak, maka berlakulah banjir kilat.

     Masalah banjir kilat yang sering melanda bandar pula adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang sempurna. Parit yang dibina terlalu kecil dan cetek serta sering tersumbat. Apabila berlaku hujan lebat, parit tersebut tidak dapat menampung sejumlah air yang banyak. Maka air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku.

     Hujan dan banjir merupakan fenomena alam yang berlaku secra semula jadi dan membawa rahmat kepada manusia, tetapi jika kita tidak mengambil langkah-langkah untuk memelihara kelangsungan alam serta tidak melakukan aktiviti pembangunan dengan terancang, maka masalah banjir kilat akan berterusan.



PT3 Modul Set1 Soalan 9(i) Karangan

TEKS CERAMAH ‘PENCEMARAN’

     Selamat pagi dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengetua Sekolah Menengah Cochrane, guru-guru dan murid-murid yang saya kasihi sekalian.  Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

     Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk ‘Pencemaran’.  Persekitaran kita, yang lebih dikenali sebagai alam sekitar, merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga kepada manusia.  Malangnya sejak kebelakangan ini, suatu perubahan cuaca yang mendadak dan membimbangkan telah berlaku.  Bencana alam seperti tsunami, bahang panas, kemarau panjang serta banjir yang tidak terkawal sering didengar.  Ini telah memberikan alamat bahawa bumi kita telah rosak dan kualiti alam sekitar kita semakin tercemar.  Namun begitu, kita sangat memerlukan suatu persekitaran yang sihat untuk meneruskan kehidupan seharian kita di muka bumi ini.  Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memelihara dan menjaga alam sekitar supaya selamat.

Saudara saudari sekalian,

     Apa makna pencemaran?  Pencemaran adalah kesan yang memudaratkan persekitaran.  Ia terjadi daripada aktiviti manusia sendiri seperti industri dan proses pertanian.  Banyak aktiviti manusia untuk pembangunan telah menyebabkan pencemaran alam seperti memotong atau menorah bukit, menggondolkan hutan, perindustrian, pertanian dan perlombongan.

     Ada lima jenis pencemaran alam iaitu pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran kimia, pencemaran bunyi dan pencemaran radiasi.  Pencemaran ini disebabkan oleh faktor manusia.  Kita menggunakan oksigen yang terdapat di udara sekeliling untuk berbafas dan hidup.  Namun begitu, udara kita telah tercemar akibat aktiviti-aktiviti manusia yang tidak terkawal seperti industri perkilangan, kepulan asap tebal daripada kenderaan bermotor, insinirator, dan penggunaan racun kimia dalam bidang pertanian.  Pelbagai unsur-unsur serta partikal toksid telah dilepaskan ke udara dan ini telah mengancam persekitaran dan kehidupan manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang.  Pembakaran sampah secara terbuka atau di tempat pelupusan sampah juga telah menyebabkan pencemaran udara.  Manakala hutan telah dibakar secara besar-besaran untuk tujuan kegiatan ekonomi dan pertanian.  Ini menyebabkan terjadinya jerebu yang boleh mengancam tahap kesihatan pernafasan manusia.  Keadaan ini disebut pencemaran udara.

     Antara kesan pencemaran udara ialah gangguan kesihatan.  Gangguan ini berlaku kerana kita terdedah kepada pelbagai sumber pencemaran di udara seperti karbon monoksida, plumbum, nikotina, tar tembakau, sinaran radioaktif, hujan asid dan lapisan ozon menjadi nipis.

     Karbon monoksida terhasil daripada pembakaran jentera kenderaan bermotor seperti kereta, motosikal, lori dan bas.  Karbon monoksida akan mengurangkan bekalan oksigen kepada sel-sel darah dan boleh menyebabkan kesesakan nafas dan membawa maut.

     Manakala pelepasan plumbum ke udara yang dihasilkan oleh ekzos kenderaan bermotor dan pembakaran plumbum daripada kilang akan menyebabkan kecacatan mental dan fizikal.  Pendedahan kepada nikotina pula menyebabkan barah mulut, kekuningan gigi dan mengeraskan arteri.  Manakala tar tembakau merosakkan sel peparu dan menyebabkan bronchitis dan barah paru-paru.  Sinaran radioaktif pula boleh menyebabkan penyakit barah tulang, kemandulan dan kecacatan bayi dalam kandungan.

Saudara saudari sekalian,

            Pencemaran air pula terjadi apabila sumber air kita dicemari oleh pelbagai bahan yang merbahaya seperti sisa toksid, virus, bakteria, parasit dan pathogen.  Bahan-bahan ini yang masuk ke dalam sumber air kita seperti longkang, sungai, kolam dan laut menyebabkan air menjadi kotor dan sangat merbahaya kepada pengguna.  Ia boleh mengakibatkan seseorang itu dijangkiti pelbagai penyakit bawaan air seperti taun dan kegatalan kulit.

Saudara saudari sekalian,

            Pelbagai sisa buangan kimia dan sisa toksid dari kilang yang dibuang ke dalam sumber air tadi akan menjejaskan kualiti air bersih dan mengancam kesihatan manusia.  Ia juga akan meracuni ikan dan hidupan air yang hidup di situ.  Manusia yang memakan ikan-ikan itu pula akan dijangkiti pelbagai penyakit yang merbahaya.

     Sementara itu, apabila kandungan oksigen dalam air semakin pupus dan berkurangan, bakteria-bakteria anaerobik (yang tidak menggunakan oksigen) akan mendominasi kehidupan di dalam air dan menghasilkan toksid-toksid dan gas yang berbau busuk (metana) di dalam air.

Saudara saudari sekalian,

     Dunia dan persekitaran kita juga telah dicemari oleh satu lagi jenis pencemaran yang dikenali sebagai pencemaran bunyi.  Pencemaran ini boleh didefinisikan sebagai bunyi bising yang keterlaluan atau yang menganggukan.

     Punca-punca berlakunya pencemaran bunyi adalah seperti pembangunan dalam kawasan industri di mana bunyi yang bising akan dikeluarkan melalui pemprosesan material, jentera berat dan kenderaan lainnya.  Bunyi ini akan menjejaskan ketenteraman orang ramai dan memberi kesan gelisah, kurang rehat, gangguan pemikiran dan lain-lain.  Di kawasan penempatan pula, punca berlakunya pencemaran bunyi ialah proses pembinaan yang menanam cerucuk besi di dalam tanah semasa membina bangunan tinggi.  Selain itu, kenderaan yang mengeluarkan bunyi bising seperti kapal terbang, motosikal, lori dan kereta juga menyumbangkan kepada pencemaran bunyi.

Saudara saudari sekalian,

            Pencemaran bunyi dalam kehidupan moden ini sememangnya banyak membawa kesan yang negatif ke atas kesihatan manusia.  Begitu juga kepada persekitaran dan haiwan di mana ekosistem telah diganggu.  Manakala kesan fisiologi kepada manusia melibatkan kehilangan pendengaran (pekak).  Berlaku juga masalah psikologi yang menganggu komunikasi antara manusia, menganggu tidur seterusnya menjejaskan kestabilan mental dan pemusatan perhatian susah dilakukan.

            Bagi pekerja kilang dan penduduk di sekitar lapangan terbang mungkin menghadapi risiko kehilangan pendengaran di mana ia biasanya berlaku secara beransur-ansur dan tanpa disedari oleh mereka.

            Oleh itu, masalah pencemaran bunyi adalah masalah yang serius dan tidak harus diabaikan mahupun dipandang ringan.

Saudara saudari sekalian,

            Satu lagi pencemaran yang berlaku ialah pencemaran tanah.  Tanah adalah habitat alamiah bagi manusia dan makhluk hidup yang lain.  Hidup kita juga adalah bergantung kepada tanah.

     Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya pertukaran warna, kesuburan dan hakisan.  Ia disebabkan oleh bahan buangan samada berbentuk air atau pepejal.  Bahan pencemar pula terdiri daripada pencemar organik, kimia atau fizik.

     Antara punca pencemaran tanah ialah pembuangan bahan-bahan buangan daripada kilang sepeti minyak, sisa toksid dan sisa-sisa kilang.  Pembangunan yang tidak dirancang seperti pembalakan yang berleluasa, pembukaan tanah baru, penebangan hutan akan memberi kesan buruk contohnya berlaku hakisan tanah, perubahan iklim dan banjir.

            Selain itu, pembuangan sampah merata-rata juga merupakan penyumbang kepada pencemaran tanah.  Tempat yang berlonggokan sampah itu akan menjadi tempat berkumpulnya lalat dan tikus.  Ini semua akan menjejaskan kesihatan manusia.

Saudara saudari yang dikasihi sekalian,

            Pelbagai langkah perlu diambil untuk mengatasi masalah pencemaran ini.  Tanggungjawab utama kita ialah menyahut seruan kerajaan dengan mengamalkan Program Kitar Semula.  Kita harus menjadi rakyat yang prihatin terhadap alam sekitar.  Kumpulkan dan asingkanlah bahan-bahan buangan ataupun terpakai di rumah.  Bungkuslah barang yang dapat dipergunakan atau dikitar semula seperti botol plastik, surat khabar lama, kaca dan tin alumunium secara berasingan.  Kemudian, hantarlah barang-barang ini ke pusat kitar semula yang berhampiran.  Jadikanlah aktiviti ini sebagai aktiviti bulanan keluarga.  Saya pasti, keceriaan alam sekitar dan keharmonian hidup kita terjamin.  Begitu jugalah dengan kempen Cintailah Sungai Kita.

            Seterusnya, kita hendaklah mengelakkan pembakaran sampah secara terbuka.  Mahukah kita hidup di bumi yang diselubungi jerebu? Jadi, marilah kita menjadi penghuni bumi yang lebih bertanggungjawab.  Usahlah bakar daun kering, sampah ataupun tayar buruk sewenang-wenangnya.  Buanglah sampah sarap ke dalam tong sampah secara sistematik.  Pekerja Majlis Perbandaran akan memungut dan menghantar ke tapak pelupusan sampah.  Dengan ini, kebersihan alam sekitar dan kesihatan kita nescaya terpelihara.

            Satu langkah mudah yang dapat kita lakukan ialah penjimatan elektrik.  Penggunaan elektrik secara membazir bukan sahaja meningkatkan kos kehidupan bahkan mencemari alam sekitar.  Dengan mengurangkan penggunaan elektrik, kita dapat mengurangkan pembakaran bahan api untuk menghasilkan tenaga elektrik di stesen jana kuasa.  Jadi amalkan langkah jimat cermat samada di rumah atau di sekolah.

            Seterusnya pihak kerajaan perlulah membina kilang-kilang jauh dari kawasan perumahan.  Langkah tegas perlu diambil dalam mengawal aktiviti pembinaan, perlombongan dan pembalakan.  Kerajaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang untuk mengawal pembebasan gas-gas beracun samada dari kilang-kilang mahupun kenderaan.

            Kerajaan juga perlu mewujudkan pembangunan pengangkutan jalan raya yang mesra alam contohnya membina komuter, Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) dan Monorel yang tidak mengeluarkan bunyi bising dan asap.

            Sebagai akhirulkalam ceramah saya pada pagi ini, saya ingin memperingatkan semua warga dewan bahawa penjagaan alam sekitar merupakan tanggungjawab kita bersama.  Pastikan alam kita bersih.  Namun begitu, selagi minda masyarakat tidak berubah selagi itu masalah akan wujud.  Marilah sama-sama kita berusaha untuk membina satu bumi dan kehidupan yang lebih berkualiti, bersih, segar dan cantik dengan mula menghargai dan memelihara alam sekitar.

Sekian, terima kasih.

PT3 Modul Set1 Soalan 7 Novel

Sinopsis Wira Persona Avatari

Novel Wira Persona Avatari karya Ahamad Zaki Abu Bakar mengisahkan enam orang remaja, iaitu Adeen, Anas, Aina, Pauline, Anjali dan Zuriani mewakili Malaysia dalam pertandingan permainan avatari komputer.  Dalam pusingan pertama mereka telah berjaya memperoleh pasu emas. Dalam pusingan kedua pasukan mereka, Zamrud II telah menghadapi beberapa masalah apabila satu cip elektronikmikro dalam mesin pasukan mereka telah hilang.  Namun begitu, masalah tersebut telah dapat diatasi dan seterusnya mereka telah berjaya melangkah ke pusingan ketiga. Dalam pusingan ketiga Pasukan Zamrud II telah diputuskan seri dengan pasukan dari Thailand dan pasukan dari China. Walau bagaimanapun, Malaysia akhir nya melangkah ke pusingan akhir setelah memenangi pusingan pemecah seri.

Dalam pusingan terakhir Pertandingan Avayari ke-10, Zuriani menyertai mereka kerana menggantikan tempat Aina yang telah ditembak.  Apabila setiap pasukan diberi cabaran untuk mengubah sejarah dunia, Pasukan Zamrud II telah memilih untuk kembali ke zaman Melaka.  Mereka ingin membantu Melaka menangkis serangan askar Portugis.  Dalam pada itu, hasrat pasukan dari Rusia yang cuba untuk kembali ke zaman kelahiran Nabi Muhammad s.a.w dapat dihalang oleh pasukan Zamrud II.  Pada masa yang sama, pasukan mereka juga turut ditentang dengan hebat oleh pasukan dari Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.  Namun begitu, akhirnya mereka berjaya memenangi pertandingan avatar yang kesepuluh itu.

Sementara itu, Anjali yang cuba menggagalkan perjuangan mereka telah ditangkap oleh Pak Cik Tan, lebih menarik lagi berita tentang pasukan ayah Aina yang telah ditemui selamat setelah hilang di laut Andaman begitu mengembirakan Aina yang sedang dirawat di hospital.

Wednesday, July 2, 2014

PT3 : Komsas (Soalan6) Pantun Empat Kerat

ANALISIS PANTUN EMPAT KERAT ( Berjimat Cermat )

MAKSUD

Pergi ke belukar memasang pikat,
Pualngnya lewat di hujung petang,
Jikalau sentiasa berjimat cermat,
Rezeki secupak terasa segantang.
(Sekiranya kita mengamalkan sikap berjimat cermat, rezeki yang diperoleh akan bertambah dari semasa ke semasa.)

Indah nian pemandangan dunia,
Dari timur hingga selatan,
Sikap berjimat amalan mulia,
Orang boros sahabat syaitan.
(Berjimat cermat adalah amalan mulia. Orang yang boros pula dianggap sebagai kawan syaitan.)

Masak meranum buah ara,
Jatuh sebiji di atas papan,
Jika berjimat setiap perkara,
Pasti terjamin masa hadapan.
(Berjimat cermat hendaklah dalam setiap perkara kerana amalan ini akan menjamin masa depan.)

Sungguh pahit buah peria,
Dimakan juga dibuat sayuran,
Membesar belanja sikap sesia,
Hanya menambah beban kewangan.
(Berbelanja besar adalah sikap yang tidak berfaedah. Sikap ini hanya akan menambahkan beban kewangan.)

Singgah berehat di Kota Lama,
Kuih dijamah air dihirup,
Berjimat cermat suruhan agama,
Jika diamal sejahteralah hidup.
(Berjimat cermat adalah amalan yang dituntut oleh agama. Hidup akan lebih sejahtera jika kita sentiasa berjimat cermat.)

Inderagiri pasirnya lumat,
Tempat berkelah putera raja,
Baik sedikit tetapi berjimat,
Daripada banyak membazir sahaja.
(Lebih baik berjimat dengan cara membeli sesuatu dengan kadar yang sedikit daripada membeli sesuatu dengan kadar yang banyak tetapi hanya membazir.)

Turun ke lading memetik kacang,
Hendak dibuat masak lemak,
Segala urusan jika terancang,
Sikap membazir pasti terelak.
(Semua urusan yang dilakukan dengan cara yang terancang akan mampu mengelakkan pembaziran.)

Tema
Kepentingan amalan berjimat cermat. Amalan ini memberi pelbagai faedah.

Persoalan
1.Amalan berjimat cermat menambahkan rezeki
2.Keburukan sikap boros
3.Kepentingan merancang perbelanjaan


Gaya Bahasa

1.    Inversi
·         Masak meranum buah ara
·         Segala urusan jika terancang


Unsur Bunyi

1.    Asonansi ( pengulangan huruf vokal)
Rezeki secupak terasa segantang
Ø  dalam baris sajak di atas, vokal “e” diulang sebanyak 5 kali

2.    Aliterasi
 Baik sedikit tetapi berjimat
Ø  dalam baris sajak di atas, konsonan “t” diulang sebanyak 4 kali

Nilai Murni

1.Berjimat cermat
Berjimat memberi kebaikan dan mengelakkan kita daripada bersikap boros.

2.Kesederhanaan
Bersederhana ketika berbelanja akan memberi keuntungan.

3.Kebijaksanaan
Kebijaksanaan dalam merancang perbelanjaan akan mengelakkan pembaziran.

4.Ketaatan
Ketaatan terhadap suruhan agama akan menjamin kesejahteraan hidup.

Pengajaran

1.    Kita perlu berjimat cermat agar dapat elakkan sikap boros dan pembaziran.
2.    Kita perlu amalkan sikap bersederhana ketika berbelanja.
3.    Kita perlu merancang perbelanjaan.
4.    Kita mesti taat pada suruhan agama demi menjamin kesejahteraan hidup.
5.    Kita harus tidak boros berbelanja agar tidak menanggung bebanan hutang.

Peranan ibu bapa

1. Antara langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak agar berjimat-cermat ialah ibu bapa perlulah mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi tentang amalan ini.

2. Selain itu, ibu bapa juga harus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka untuk mengikuti amalan ini.

3. Ibu bapa haruslah menggalakkan anak-anak mereka untuk menabung kerana amalan ini merupakan salah satu langkah yang efektif untuk mewujudkan generasi yang berjimat-cermat.

4. Seterusnya, ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak mereka untuk membeli barangan yang hanya diperlukan sahaja.

       

Tuesday, July 1, 2014

PT3 : KRG ( Soalan 9(iii) ) Usaha Menangani Masalah Kemalangan Jalan Raya

Cara-cara Mengatasi Masalah Kemalangan Jalan Raya

              Dalam menghadapi arus globalisasi dan cabaran abad ke-21, statistik menunjukkan kes kemalangan jalan raya semakin meningkat seiring dan selari dengan perkembangan ekonomi dan kemajuan sosial. Memandangkan hakikat ini, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menangani masalah ini. Bak kata pepatah berat sama dijinjing, ringan sama dipikul.

              Terdapat pelbagai cara yang dapat diambil bagi mengatasi msalah kemalangan jalan raya ini. Antaranya ialah dengan mengadakan kempen keselamatan jalan raya. Contohnya, pihak kerajaan boleh mengedarkan risalah atau pelekat kenderaan terutamanya kepada penunggang motosikal yang masih setahun jagung serta yang masih leka tentang pentingnya keselamatan diri ketika berada diatas jalan raya. Hal ini kerana, nyawa kita yang tidak ternilai harganya tidak dapat ditukar ganti. Janganlah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

              Selain itu, pihak kerajaan dan pihak berkuasa hendaklah memasang kamera perangkap kelajuan di tempat-tempat yang strategik di seluruh pelosok dunia bagi mengawasi had kelajuan kenderaan yang dipandu mereka. Dengan adanya alat yang serba canggih ini, para pemandu dan penunggang yang menaiki kenderaan melebihi had laju yang ditetapkan wajiblah membayar saman mereka seberapa banyak yang ditetapkan setelah menerima surat saman daripada pihak berkuasa.
         
              Di samping itu, pengguna jalan raya juga harus dididik untuk mempunyai  kesedaran tentang keselamatan jalan raya agar dapat mempunyai sahsiah diri yang tinggi sebagai seorang pengguna jalan raya. Cara ini dapat diterapkan terutamanya  dari kalangan remaja yang masih muda kerana bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kaedah ini boleh diperkenalkan melalui komunikasi awam seperti televisyen, radio, internet dan sebagainya yang berkaitan dengan media massa. Sekolah memandu juga sedikit sebanyak dapat membantu pengguna lebih mahir dan cekap ketika berada di atas jalan raya supaya semuanya menjadi lebih muah, rapi dan teratur.

              Secara intihanya, semua pihak memainkan peranan dalam mengatasi masalah kemalangan jalan raya ini. Kita hendaklah bersatu padu. Hal ini kerana muafakat membawa berkat. Sebelum ‘kudis menjadi pekung’ biarlah masalah ini beransur-ansur pulih dengan kerjasama kita semua kerana ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.

Usaha Tangga Kejayaan