Monday, April 28, 2014

TBHS : Kata Kerja

Apa itu Kata Kerja?

Perkataan yang menggambarkan perbuatan yang dilakukan orang/binatang.

Contoh:
  • Berjalan
  • Makan
  • Membaca
Benda yang tidak hidup boleh bekerja?
Boleh. Misalannya, lampu bernyala atau angin meniup
Bagaimanakah caranya untuk kita mengenal Kata Kerja?
Cuba memberi Kata Bantu pada perkataan itu seperti sudah, masih dan sedang

Kata Kerja Aktif
Kata Kerja yang menerima awalan meN- dengan/ tanpa akhiran -kan/ -i.
Contoh:
  • Mencari
  • Menjalani
  • Menggerakkan
Contoh Ayat:
i.   Samad membaca buku. (Ayat Aktif)
  • Samad – Pelaku
  • (Penyambut) – membaca apa? = Buku
ii.   Siti suka menaiki basikal.
  • Siti – Pelaku
  • (Penyambut) – Menaiki apa?  = Basikal
Kata Kerja Pasif
Kata Kerja hasil daripada proses transformasi atau perubahan ayat aktif menjadi ayat pasif.
Kata Kerja yang mengandungi imbuhan ‘di’.
Contoh:
  • Dicari
  • Dijalani
  • Digerakkan
Contoh Ayat:
i. Buku dibaca oleh Samad. (Ayat Pasif)
  • Apa yang dibaca oleh Samad? = Buku
  • Buku itu dibaca oleh? = Samad
ii. Basikal telah dinaiki oleh Siti. (Ayat Pasif)
  • Apa yang dinaiki oleh Siti? = Basikal
  • Basikal itu dinaiki oleh? = Siti
Frasa Kerja
Apa itu FRASA?
Lebih dari satu perkataan.
Apa itu KATA KERJA?
Kata yang menggambarkan perbuatan
FRASA KERJA adalah frasa yang menggunakan Kata Kerja
Contoh:
  • membasuh baju
  • membaca buku
  • sedang berlari anak

Thursday, April 24, 2014

Latihan MG : Latar Tempat / Latar Masyarakat

MG : Latar Masyarakat

Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan tiga latar masyarakat berserta contoh.

     Setiap novel mempunyai latar masyarakat. Novel Merenang Gelora mempunyai latar masyarakatnya yang tersendiri.
     Antara latar masyarakat dalam novel tersebut termasuklah masyarakat pelajar sekolah. Contohnya, Badri dan kawan-kawannya Jamil, Kumar, Nadira, dan yang lain-lain yang sedang bersekolah dalam Tingkatan Lima serta akan mengambil peperiksaan SPM.
     Masyarakat yang dikenali sebagai mat motor wujud juga.  Latar masyarakat ini diwakili oleh Shahrul dan kawan-kawannya yang menyertai kumpulan mat motor. Mereka menunggang motosikal mereka dengan lajunya.
     Latar masyarakat yang prihatin terhadap anak ditemukan juga dalam novel Merenang Gelora. Hal ini dibuktikan oleh sikap Encik Tan yang menghantar Meng Kong ke asrama agar anaknya itu lebih berdisiplin dan mengubah sikapnya.
            Demikianlah tiga latar masyarakat yang dapat ditemukan dalam novel Merenang Gelora.

MG : Latar Tempat

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga latar tempat berserta contoh yang berlaku di tempat tersebut.

     Setiap novel mempunyai latar tempat. Novel Merenang Gelora mempunyai latar tempatnya yang tersendiri.
     Dalam novel tersebut latar tempat, iaitu tandas sekolah telah dikenal pasti. Di tempat tersebutlah, Badri telah disiram sehingga basah kuyup oleh seseorang yang tidak dikenali.
     Latar tempat yang lain yang diterangkan dalam novel tersebut ialah Kedai Encik Tan. Di kedai Encik Tanlah Meng Kong mencuri telefon bimbit dan kad prabayar yang dimiliki ayahnya. Hal tersebut terakam dalam CCTV di kedai tersebut.
     Latar tempat yang lain ialah tempat di rumah Pak Alang. Di tempat itulah Badri belajar bersilat dan di situlah juga Mak alang memperkenalkan Nadira, iaitu anak buahnya kepada Badri.
     Begitulah tiga latar tempat dan peristiwa yang berlaku di tempat-tempat tersebut.

Latihan MG : Persoalan

Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan tiga persoalan berserta contohnya sekali.

            Setiap novel mengemukakan persoalan-persoalan yang menarik. Novel Merenang Gelora karya Ruslan Ngah turut mengemukakan persoalan-persoalannya yang tersendiri.
            Antara persoalan yang disentuh dalam novel Merenang Gelora termasuklah sikap amanah untuk menjalankan sesuatu tugas yang diberikan.  Penulis novelnya  mengemukakan contoh Badri sebagai orang yang amanah apabila dilantik menjadi pengawas. Badri menjalankan tugas tersebut dengan penuh tanggungjawab untuk membantu pihak guru dan sekolah.
             Seterusnya, persoalan amalan membantu tanpa mengira kaum ditemukan juga. Contoh persoalan tersebut dilambangkan oleh Badri yang membantu Ah Meng untuk mendapatkan bukti kegiatan pencurian telefon bimbit dan kad prabayar yang dilakukan oleh Meng Kong.
           Persoalan tentang pergaduhan yang tidak akan menyelesaikan masalah turut dibincangkan dalam novel ini. Contohnya, Shahrul dan Badri yang bertengkar kerana Shahrul marah apabila Nadira tidak mahu berkawan dengannya lagi. Badri menjelaskan bahawa dia tidak mahu bergaduh dengan Shahrul.
            Demikianlah tiga persoalan dan contohnya seperti yang ditemukan dalam novel Merenang Gelora.

Wednesday, April 23, 2014

KRG Keperihalan


Karangan Jenis Keperihalan/ Gambaran / Situasi

*Memerlukan kekuatan imaginasi dan daya kreatif yang tinggi.
*Sesuatu yang ditulis itu mungkin berdasarkan pengalaman , pembacaan, atau perbualan.

SOALAN 1
Suatu hari ketika kamu tinggal sendirian di rumah, kamu telah dikejutkan oleh suara riuh-rendah. Apabila kamu menjenguk ke luar, kamu dapati asap berkepul-kepul naik ke angkasa dari rumah jiran kamu. Ceritakan peristiwa yang kamu saksikan itu.

Pengenalan :
tinggal sendirian / baca buku cerita
Perenggan ke-2 :
mendengar suara riuh-rendah / menjenguk ke luar / suatu kebakaran berlaku
Perenggan ke-3 :
ramai orang mula berkumpul / cuba membantu memadamkan kebakaran / membantu memunggahkan barang
Perenggan ke-4 :
aku terus menelefon pihak bomba / ahli-ahli bomba tiba
Penutup :
kebakaran dapat dikawal / berasa sungguh gembira

          Pada hujung minggu yang lepas, saya terpaksa tinggal sendirian di rumah kerana ibu bapa saya pergi ke tempat kenduri kahwin. Untuk menghilangkan rasa jemu, saya membaca sebuah buku cerita.

          Ketika saya leka membaca , tiba-tiba saya terdengar suara riuh-rendah meminta tolong. Saya segera menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya saya apabila saya dapati asap berkepul-kepul keluar dari rumah jiran saya. Suatu kebakaran telah berlaku.

          Orang ramai mula berkumpul di situ. Ada yang cuba memadamkan kebakaran dan ada yang menolong memunggahkan barang-barang. Saya mulai berasa bimbang kalau-kalau api itu merebak ke rumah saya. Tanpa berlengah-lengah lagi , saya terus menelefon pihak bomba. Sepuluh minit kemudian, anggota bomba pun tiba di situ.

          Ahli-ahli bomba telah bertungkus-lumus memadamkan api tersebut. Akhirnya kebakaran itu dapat dikawal daripada merebak. Saya berasa gembira kerana rumah saya terselamat daripada kebakaran tersebut.

SOALAN 2

Anda dengan beberapa orang rakan sedang menuju ke sebuah pulau. Dalam perjalanan, hujan lebat turun dan rebut melanda. Dengan tiba-tiba perahu yang anda dan rakan-rakan anda naiki karam. Ceritakan pengalaman anda itu.

       Pada suatu pagi yang hening, aku dan rakan-rakanku menaiki perahu menuju ke Pulau Semalu untuk mengail ikan. Perahu kami tenang melawan ombak kecil. Saleh dan Mahizan berada di buritan perahu. Mereka bergilir-gilir mendayung perahu.

       Jauh di kaki langit, tompokan awan hitam berarak perlahan-perlahan. Kira-kira lima belas minit kemudian, cuaca yang terang itu bertukar menjadi gelap. Hujan yang kasar butirnya mula turun.

      “Kayuh kuat lagi, nanti dipukul ribut.” Aku memberikan arahan kepada Saleh dan Muhizan. Suaraku yang cemas itu tenggelam dalam bunyi air hujan dan deru angin yang bertiup liar.

      Angin semakin kencang dan ombak besar menyerbu. Perahu kami terumbang-ambing. Saleh dan Mahizan mencuba sedaya upaya untuk mengawalnya. Aku pula sibuk menimba air hujan yang seperti dituangkan kedalam perahu. Sesekali aku menyorot wajah rakan-rakanku. Sambil mendayung perahu, mulut Sudin kumat-kamit. Agaknya dia sedang membaca doa supaya kami selamat. Wajah Saleh pula pucat.

     Tiba-tiba ombak besar menerjah kami bagaikan kilat. Perahu kami pecah dua. Kami tercampak ke dalam air yang bergelora dan digulung ombak hingga tenggelam seketika. Ketika tenggelam itu aku terminum air masin. Cepat-cepat kakiku menendang dan tanganku menguak air supaya aku cepat timbul.

      Sebentar kemudian muncul kepala Mahizan dan Saleh. Kami  bernasib baik kerana memakai jaket keselamatan. Meskipun begitu, Mahizan sempat menjerit kepada aku dan Saleh berpaut pada kepingan papan perahu yang telah pecah tadi.

      Kami hanyut dibawa arus dalam keadaan saling berpegangan tangan. Entah beberapa kali kami dilambung ombak yang datang begitu kuat itu. Ketakutan membalut seluruh hati kami.

       Ribut itu reda setelah lima belas minit mengamuk. Kami letih dan lesu ketika itu dan hampir berputus asa. Kelihatan di sekeliling kami hanya air laut yang kian tenang. Tiba-tiba kakiku terpijak dasar laut. Kami berenang menuju ke pantai itu. Sebaik-baik sahaja sampai si pantai itu, aku terbaring kerana terasa amat letih. Saleh dan Mahizan pula terduduk di atas pasir.

      Apabila hilang rasa letih baharulah kami sedar bahawa kami berada di pantai tempat kami mula-mula bertolak tadi. Kami menuju ke arah jeti. Kami bersyukur kepada Tuhan kerana masih memanjangkan umur kami.

 

         

PEMAHAMAN/RINGKASAN : Langkah-Langkah Berjimat Cermat


PEMAHAMAN

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah berjimat cermat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
      Kenaikan harga barang kini merupakan ekoran kenaikan harga minyak. Oleh itu, setiap orang terasa bebannya termasuk golongan yang berpendapatan sederhana. Walaupun kita amat berharap agar kerajaan mengawal harga barang bagi mengurangkan beban, kita perlu berusaha untuk mengurangkan kesan kenaikan harga. Dalam situasi ini, kita perlu berjimat ketika berbelanja. Kalau dahulu kita telah mengamalkan sikap jimat cermat, kini kita perlu lebih berkira-kira lagi. Jika dahulu kita hanya berjimat dari segi penggunaan petrol, kini kita harus mengurangkan amalan makan di luar, membeli barangan mewah dan sebagainya.

      Perancangan kewangan juga penting. Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan. Dengan kata lain, pendapatan patut diagihkan kepada simpanan dan perbelanjaan. Pada peringkat keluarga, perancangan kewangan mesti dibuat secara bersama-sama oleh suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin. Hasil perbincangan ini pula, harus dijelaskan kepada anak-anak supaya mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan.
 
     Dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi. Untuk itu, kita perlu berilmu dan ilmu boleh didapati melalui pembacaan dan pemelajaran. Buku-buku panduan pengurusan kewangan yang banyak terdapat di pasaran boleh dijadikan rujukan sekiranya kita serius hendak menguruskan kewangan keluarga dengan bijak. Di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik. Pihak pengurusan hendaklah mengawal penggunaan kemudahan pejabat seperti mesin fotostat, alat tulis dan kertas. Pekerja perlu memahami  sebab-sebab langkah penjimatan diambil dan bekerjasama dalam melaksanakannya. Arahan demi arahan tanpa penjelasan yang munasabah, tidak akan meninggalkan bekas. Para pekerja  juga sukar untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak pengurusan tidak menunjukkan teladan yang baik dalam malaksanakan langkah penjimatan ini.
                                                                                    (Dipetik dan diubahsuaikan daripada
                                                                                      ‘ Masa Berkira ketika Berbelanja’,
                                                                                      Utusan Malaysia, 11 Ogos 2005)

Pemahaman


Berdasarkan petikan Bahagian A ( i ), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1.  Berikan maksud rangkai kata  menunjukkan teladan. 

2.  Berdasarkan petikan, nyatakan dua kesan kenaikan harga minyak.
3.  
Pada pendapat anda, bagaimanakah amalan berjimat cermat dapat dipupuk sejak       kecil?                                                                                                 

Panduan Jawapan

Soalan 1
menunjukkan teladan
menunjukkan  - mempamerkan / memperlihatkan
teladan  - contoh /ikutan        

Soalan 2
Dua kesan kenaikan harga minyak ialah  kenaikan harga barang dan setiap orang terasa bebannya termasuk golongan yang berpendapatan sederhana

Soalan 3
Amalan berjimat cermat dapat dipupuk sejak kecil melalui kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan. Selain itu, amalan ini dapat dipupuk melalui didikan guru-guru di sekolah


RINGKASAN
Contoh isi dalam petikan ialah:

a)  Dalam situasi ini, kita perlu berjimat ketika berbelanja.
b)  Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan.
c)  Pada peringkat keluarga, perancangan kewangan mesti dibuat secara bersama- sama oleh  suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin.
d)  Hasil perbincangan ini pula, harus dijelaskan kepada anak-anak supaya  mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan.
e)  Dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi
f)   Di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik.
g)  Pihak pengurusan hendaklah mengawal penggunaan kemudahan pejabat.

Senarai penanda wacana:

-          Biarpun demikian                                        -     Oleh sebab itu
-          Di samping itu                                             -     Sehubungan dengan itu
-          Justeru                                                         -     Selain itu
-          Lebih-lebih lagi                                           -     Tambahan pula
-          Meskipun demikian                                     -     Walau bagaimanapun
-          Namun begitu                                              -     Walaupun begitu
-          Oleh itu                                                       -     Untuk itu
-          Akhir sekali                                                 -     Umum
-          Seterusnya

Contoh Ringkasan

             Langkah-langkah berjimat cermat termasuklah, kita perlu berjimat ketika berbelanja. Selain itu, pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan. Seterusnya, pada peringkat keluarga, perancangan kewangan perlu dibuat secara bersama- sama oleh suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan  ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi, hasil perbincangan ini pula, perlu dijelaskan kepada anak-anak supaya  mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan. Umumnya, dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi. Di samping itu, di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik.





Sunday, April 20, 2014

LATIHAN TATABAHASA

KATA NAMA

Isi tempat kosong dengan jawapan yang paling sesuai.


1. Dalam cerita-cerita zaman dahulu, Sang Kancil ialah seekor __________ yang pintar.
A orang / B haiwan / C makhluk / D ternakan

2. Kebanyakan penduduk di Kampung Merbau bersawah ___________.
A kelapa sawit / B bunga / C getah / D padi

3. Banyak makan __________ bererti banyak pengalaman hidup.
A hati / B ubat / C gula / D garam

4. __________ ialah hasil kraf tangan Malaysia yang diminati oleh para pelancong.
A Batik / B Dodol / C Gamelan / D Tarian Inang

5. __________ Puan Suziana yang kemas dan cantik itu menarik perhatian saya.
A Nyanyian / B Masakan / C Pakaian / D Tarian

6. __________ itu terlalu kacak jika dibandingkan dengan adik-beradiknya yang lain.
A Gadis / B Wanita / C Pemudi /D Pemuda

7. Pakaiannya yang celorong-celoreng itu menampakkan dia seorang __________.
A doktor / B perwira / C mekanik /D pemandu

8. Mereka selalunya bermesyuarat di __________.
A bilik gerakan / B bilik bacaan / C bilik stor / D bilik air

9. Sebahagian __________ tingkap rumah Nenek Mah telah reput.
A sumpah-sumpah / B angkut-angkut / C kisi-kisi / D api-api

10. Mak Leha sedang menuang air ke dalam __________ itu.
A labu-labu / B kisi-kisi / C dekak-dekak /D kuda-kuda

11. __________ cemerlang itu terpilih untuk menyambung pelajaran ke Jepun.
A Budak-budak / B Kanak-kanak / C Lelaki-lelaki /D Pelajar-pelajar

12. __________ di lembah itu sangat sesuai untuk tanaman padi.
A Batu-batan / B Tanah-tanih / C Bukit-bukau / D Kayu-kayan

13. Meja kayu jati yang antik itu diletakkan di __________ ruang tamu.
A dalam / B bawah / C tengah / D atas

14. __________ yang telah busuk itu dibuang ke dalam tong sampah.
A Buah-buah / B Buku-buku / C Bekas-bekas / D Barang-barang

15. Setiap petang, adik Lela bermain buaian dengan kawan-kawannya di _________pokok rambutan.
A tepi / B atas / C bawah / D belakang

 
KATA KERJA
Isi tempat kosong dalam ayat-ayat di bawah dengan jawapan yang paling sesuai.
Latihan kata kerja…


1. Amir ________kesakitan apabila doktor mencuci lukanya.
A merintih / B mengeluh / C mengenang / D mengerang

2. Badan Nabilah__________kerana ketakutan.
A menggeliat / B menggeletar / C menggelupur / D menggelepar

3. Pengemis itu ___________oleh pekerja restoran tersebut.
A dihalang / B dibuang / C dihalau / D ditindas

4. Mak Cik Hasnah sedang ___________bawang di dapur.
A menumbuk / B mengetuk / C memukul / D memalu

5. Ibu ____________kelapa untuk mendapatkan santannya.
A memicit / B melenyek / C memerah / D menindih

6. Anak ayam lari bertempiaran apabila seekor helang cuba ____________.
A merenggut / B menyambar / C merampas / D mengambil

7. Persatuan Seni Lukis Sekolah Kebangsaan Seri Langkap akan ______pameran lukisan.
A melaksanakan / B menjalankan / C mengadakan / D melahirkan

8. Kampung Berlian dan Kampung Permata _________oleh sebatang sungai.
A terbelah / B terpisah / C terpecah / D terbahagi

9. Ular sawa itu __________ seekor kambing.
A melulur / B meneguk / C mengunyah / D menghisap

10. Sebelum sesuatu aktiviti dijalankan kita perlulah _________nya terlebih dahulu.
A merancang / B menimbang / C melaksana / D melihat

11. Lilian ....buku cerita yang dipinjamnya kepada Tan.
A memberikan / B menyerahkan
C memulangkan / D menghulurkan

12. Peniaga itu ......keuntungan dengan mengenakan harga jualan yang tinggi kepada pelanggan-pelanggannya.
A meraih / B mencapai
C mengumpul / D mengais

13. Mulut adik .....semasa mendengar cerita yang disampaikan oleh nenek.
A tertutup / B tersengih / C terlopong / D terkatup

14. Fauzan .....kedatangan Encik Azam ke rumahnya dengan ramah.
A menunggu / B menyambut / C mengajak / D menanti

15. Banduan itu terpaksa .....di penjara selama lima tahun akibat kesalahan mencuri.
A menetap / B menginap / C meringkuk / D menumpang

Thursday, April 17, 2014

Latihan MG : Perwatakan Watak Utama

 
PERWATAKAN WATAK UTAMA
BADRI SEORANG YANG BERANI
Berdasarkan novel :Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan perwatakan watak utama sebagai seorang yang berani ?
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Watak utama dalam novel ini ialah Badri. Badri digambarkan seorang yang berani.
Peristiwa pertama ialah Badri berani membawa Kumar ke bilik guru disiplin kerana Badri mengesyaki Kumar yang menyimbah air mangkuk tandas terhadapnya.
Selain itu, peristiwa Badri tidak takut untuk menyiasat aktiviti Shahrul dan kawan-kawannya demi memastikan salah laku pelajar berjaya dibanteras.
Akhir sekali, peristiwa Badri berani berhadapan dengan Shahrul yang menyerangnya. Namun kehandalan Badri dalam ilmu silat berjaya menewaskan Shahrul sehingga mereka lari bertempiaran menyelamatkan diri.
 
BADRI SEORANG YANG GIGIH
Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan perwatakan watak utama sebagai seorang yang gigih?
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Watak utama dalam novel ini ialah Badri. Badri digambarkan seorang yang gigih.
Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Badri dirempuh oleh seseorang sehingga tersungkur. Peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat Badri sebagai seorang pengawas.
Selain itu, peristiwa gigih menjalankan tugas sebagai seorang pengawas yang menghadapi banyak cabaran.
Akhir sekali, peristiwa Badri telah disimbah dengan air mangkuk tandas. Oleh yang demikian, Badri meminta izin untuk pulang awal.
 
 
PERBANDINGAN WATAK BADRI DAN SHAHRUL
Berdasarkan novel di atas nyatakan 3 perbandingan antara watak utama dan watak sampingan?
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak perbandingan antara watak utama Badri dan watak sampingan Shahrul.
Perbandingan yang pertama ialah Badri seorang yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai seorang pengawas sekolah manakala Shahrul seorang yang tidak bertanggungjawab kerana dia telah meninggalkan Nadira ketika diserbu polis.
Selain itu, Badri tidak suka berfoya-foya dan hidup bebas kerana tidak mendatangkan faedah kepadanya manakala Shahrul sentiasa berfoya-foya bersama rakan-rakannya dan sering terlibat dalam lumba haram.
Akhir sekali, Badri seorang yang rajin kerana dia selalu mengulang kaji pelajaran ketika peperiksaan SPM semakin hampir manakala Shahrul menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak.
 

Latihan MG : Nilai Kegigihan / Nilai Keberanian / Nilai Kasih Sayang

 
NILAI – KEGIGIHAN
Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai kegigihan.
 
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai kegigihan dalam novel ini.
Peristiwa yang pertama, Badri gigih menjalankan tugasnya sebagai seorang pengawas yang menghadapi banyak cabaran.
Selain itu, peristiwa Badri telah disimbah dengan air mangkuk tandas. Oleh yang demikian Badri meminta izin untuk pulang awal.
Akhir sekali, peristiwa Badri dirempuh oleh seseorang sehingga tersungkur. Peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat Badri sebagai seorang pengawas.
 
NILAI- KEBERANIAN
Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian.
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian dalam novel ini.
Peristiwa yang pertama ialah Badri tidak takut untuk menyiasat aktiviti Shahrul dan kawan-kawannya demi memastikan salah laku pelajar berjaya dibanteras.
Selain itu, peristiwa Badri berhadapan dengan Shahrul yang menyerangnya. Namun kehandalan Badri dalam ilmu silat berjaya menewaskan Shahrul sehingga mereka lari bertempiaran menyelamatkan diri.
Akhir sekali, peristiwa Badri membawa Kumar ke guru disiplin kerana Badri mengesyaki Kumar yang menyimbah air mangkuk tandas terhadapnya.
NILAI- KASIH SAYANG
Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai kasih sayang.
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai kasih sayang dalam novel ini.
Peristiwa yang pertama Badri mahu membahagiakan kedua-dua ibu bapanya sebagai tanda kasih sayang mereka membesarkannya.
Selain itu, peristiwa Siew Mei sayang akan abangnya, Siew Mei berjumpa Badri di sebuah restoran untuk meminta bantuan agar abangnya tidak dibuang kerja oleh bapa Meng Kong.
Akhir sekali, peristiwa Jamil berpindah dan bersekolah di Sarawak kerana diminta berbuat demikian oleh ibu bapanya.

Wednesday, April 16, 2014

PEMAHAMAN/RINGKASAN : Implikasi Kegiatan Buli

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang implikasi-implikasi yang ditimbulkan oleh kegiatan buli. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Isu buli bukanlah isu yang baharu dalam kalangan masyarakat. Kegiatan buli bukan sahaja berlaku di sekolah malahan berlaku dalam mana-mana institusi seperti institusi pengajian tinggi, swasta dan kerajaan. Isu buli ini perlu disesaikan melalui pendekatan kolektif. Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan gejala ini tidak terus menjadi isu yang serius. Malangnya, apabila setiap kali menyelak akhbar atau menonton televisyen, masyarakat disajikan dengan isu buli di sana sini. Senario sebegini akan membawa impak yang besar kepada pembangunan negara Malaysia yang maju dan bertamadun. Malahan, modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang diimpikan dalam wawasan perdana tidak dapat direalisasikan.

Dalam satu kajian, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gejala buli terjadi, iaitu isu pembuli berasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan atau fizikal. Malahan, kajian juga menunjukkan bahawa kebanyakan mereka yang terlibat dengan kes buli ini tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dengan ibu bapa. Sebaliknya, kebanyakan mereka datang daripada hubungan kekeluargaan yang tidak mengambil berat akan didikan agama. Budaya buli jika dijadikan kelaziman akan menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan. Isu buli jika tidak ditangani dengan bijaksana dapat merencatkan pembangunan kerajaan terutama dalam menyemai moral yang luhur.

Realitinya, perbuatan buli sehingga menimbulkan keganasan di luar batasan kemanusiaan perlu ditentang. Hal ini demikian kerana tindakan si pembuli akan mencemarkan imej negara di mata dunia. Justeru, negara akan gagal melahirkan suatu bangsa yang berjiwa merdeka jika gagal mengatasi gejala buli daripada terus berleluasa. Yang lebih ditakuti ialah budaya buli akan menjadi suatu budaya yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Oleh itu, anak-anak kita juga akan menghadapi kesukaran untuk menimba ilmu kerana wujudnya persekitaran yang tidak membantu mereka untuk belajar dalam suasana yang kondusif dan aman.

Tiada gunanya negara mampu melahirkan bijak pandai dalam pelbagai bidang, sedangkan sahsiah mereka berada pada tahap yang paling rendah. Oleh itu, setiap program atau garis panduan yang bakal dibuat untuk menangani masalah buli perlu dipantau dengan lebih konsisten oleh pihak yang berkenaan agar masalah ini tidak mengganggu kelancaran agenda pembangunan yang disusun oleh kerajaan.


(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana, “Budaya Buli Sepatutnya Sudah  Berlalu”, Utusan Malaysia, Februari 2007)

PEMAHAMAN
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan berikut

1. Berikan maksud rangkai kata “dipantau dengan lebih konsisten" mengikut konteks dalam petikan di atas.   (2M)
2. Nyatakan faktor-faktor  yang menyebabkan gejala buli terjadi ? (3M) 
3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan supaya gejala buli dapat diatasi ?   (4M)

RINGKASAN
Jadual Isi

ISI
HURAIAN
1
Kegiatan buli menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan.
2
Dapat merencatkan agenda pembangunan kerajaan terutama dalam menyemai moral yang luhur.
3
Tindakan si pembuli akan mencemarkan imej negara di mata dunia.
4
Negara akan gagal melahirkan suatu bangsa yang berjiwa merdeka jika gagal mengatasi gejala buli daripada terus berleluasa.
5
Budaya buli akan menjadi satu budaya yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi.

Latihan Ringkasan.

Implikasi yang timbul akibat kegiatan buli adalah mangsa akan mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan. Kegiatan ini juga akan membantutkan usaha pembangunan kerajaan dalam menyemai nilai murni dalam kalangan rakyat. Pembuli juga akan mencemarkan maruah negara kepada negara luar. Selain itu, negara akan gagal melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka jika kegiatan ini berterusan. Akhir sekali, kegiatan negative ini pasti akan menjadi budaya masyarakat jika tidak dibendung dari akar umbi.
                                                                                                                        (70 patah perkataan)



Thursday, April 10, 2014

MG : Nilai dan Pengajaran

NILAI-NILAI MURNI

1 - Nilai Kasih Sayang
Badri tetap meneruskan hasrat untuk menceritakan perihal Shahrul kepada Nadira walaupun tahu Nadira tidak akan mempercayai. Hal ini demikian kerana Badri sayang akan masa depan Nadira.

2 - Nilai Ketabahan
Badri tetap dengan tugasnya sebagai pengawas walaupun berbagai-berbagai dugaan,cemuhan, ugutan dan tindakan yang dihadapi dengan tabah

3 - Nilai Kegigihan
Badri gigih berusaha sehingga memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan SPM

4 - Nilai Bertanggungjawab
Mak Siti seorang ibu yang bertanggungjawab memasak nasi lemak dan sambal sotong untuk sarapan pagi anak-anaknya

5 - Nilai Prihatin
En Tan berusaha mendapatkan tempat di asrama untuk anaknya Meng Kong supaya anaknya berubah dan tidak terjebak dengan gejala sosial.

6 - Nilai Sayang Kepada Seni Warisan Bangsa
Badri mempelajari seni mempertahankan diri iaitu silat dengan Pak alangnya dan sentiasa menjaga etika silat di mana-mana saja dia berada.

7 - Nilai Keberanian
Badri tetap ingin berjumpa seseorang yang tidak pasti hanya melalui nota kecil yang terdapat di dalam poketnya.

8 - Nilai Persahabatan
Walaupun Badri,Jamil,Shahrul,Meng Kong,Siew Mei telah ada kehidupan masing-masing namun ingatan persahabatan tetap kekal di sanubari masing-masing

PENGAJARAN

1. Kita perlulah tabah menghadapi cabaran untuk menyelesaikan masalah.
Contoh, Badri tabah menghadapi cabaran ketika menjalankan tugas sebagai seorang pengawas sehingga dia berjaya menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

2. Kita haruslah mempelajari seni mempertahankan diri untuk menjaga keselamatan.
Contoh, Badri dapat mengelakkan serangan Shahrul secara spontan dengan menggunakan ilmu silatnya.

3. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
Contoh, Badri dan Siew Mei gigih belajar sehingga memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan SPM.

4. Kita mestilah tegas dan adil menyelesaikan sesuatu masalah agar tidak menganiaya orang lain.
Contoh, Cikgu Jailani menyelidiki secara terperinci penemuan telefon bimbit di dalam beg Badri.

5. Kita hendaklah berani memberikan maklumat yang benar untuk mengatasi sesuatu masalah.
Contoh, Siew Mei membantu Badri memberikan maklumat berkaitan masalah disiplin pelajar.

6. Kita hendaklah berbincang secara rasional supaya tidak dipengaruhi emosi.
Contoh, Encik Tan terburu-buru memberhentikan Idham iaitu abang Jamil yang bekerja di kedai telefon bimbitnya setelah percaya dengan dakwaan Meng Kong bahawa Idham yang mencuri telefon bimbit dari kedainya.

7. Kita haruslah taat kepada ibu bapa demi kejayaan masa depan.
Contoh, Meng Kong akur dengan tindakan bapanya untuk tinggal di asrama sekolah.

8. Kita hendaklah insaf setelah melakukan sesuatu kesalahan agar tidak terus-menerus mengalami kesusahan.
Contoh, Shahru tidak sedar dan insaf sekalipun terlibat dalam kemalangandan dikenakan hukuman rotan di sekolah oleh pengetua.

Wednesday, April 9, 2014

Faedah Berpersatuan : Skema Jawapan Ringkasan

SKEMA JAWAPAN RINGKASAN.

Senarai isi penting- faedah berpersatuan
1.       Berpersatuan dapat meningkatkan pembabitan belia dalam kegiatan sukarela dan
         kebajikan.

2.        kegiatan berpersatuan mampu membudayakan sikap murni belia selaras dengan
         usaha mewujudkan masyarakat prihatin

3.        Berpersatuan dapat melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana yang 
          harmoni.

4.       Pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan
          keyakinan apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan.

5.        membawa kepada pembentukan peribadi yang lebih berwibawa. 
 

6.       dapat meluaskan pengetahuan dan menambah pelbagai kemahiran diri.

Isi ringkasan mesti sekurang-kurangnya 5 = 10 markah





Contoh jawapan ringkasan:

                                   Antara faedah berpersatuan dalam kalangan belia ialah berpersatuan dapat meningkatkan pembabitan belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan.  Selain itu, kegiatan berpersatuan mampu membudayakan sikap murni belia selaras dengan langkah mewujudkan masyarakat prihatin.  Seterusnya, berpersatuan dapat melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana yang harmoni manakala pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan keyakinan apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan.  Berpesatuan juga membawa kepada pembentukan peribadi yang lebih berwibawa.  Akhirnya, dapat meluaskan pengetahuan dan menambah pelbagai kemahiran diri.
                                                                                                                            (78   patah perkataan)

Faedah Berpersatuan : Skema Jawapan Pemahaman

SKEMA JAWAPAN PEMAHAMAN

i)  Berikan maksud rangkai kata “meminggirkan peranan”,mengikut konteks dalam petikan di atas.  (2 markah)
 
Maksud rangkai kata meminggirkan peranan dalam petikan ialah mengenepikan / mengesampingkan fungsi / tugas.    

ii)  Nyatakan usaha-usaha yang dilakukan untuk mengalakkan golongan belia menyertai kegiatan berpersatuan.  [4 markah]

Usaha-usaha yang dilakukan untuk mengalakkan golongan belia menyertai kegiatan berpersatuan ialah segala perancangan dan dasar yang dibuat kerajaan, belia turut diberi perhatian.  Selain itu, dalam mengimarahkan lagi pembabitan golongan muda dalam persatuan, pertubuhan belia perlu mengorak langkah lebih aktif untuk menarik golongan belia dalam  berpersatuan.  Dalam diri belia pula perlu ditanam bahawa kegiatan berpersatuan sebagai sebahagian ibadat.

iii)  Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak ibu bapa dan sekolah supaya pelajar aktif dalam kegiatan berpersatuan?  [4 markah]

Pada pendapat saya, peranan yang perlu dimainkan oleh pihak ibu bapa dan sekolah supaya pelajar aktif dalam kegiatan berpersatuan ialah ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik dengan menyertai persatuan seperti Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) atau persatuan belia di kawasan-kawasan perumahan supaya anak-anak dapat memahami kebaikan kegiatan berpersatuan.  Selain itu, pihak sekolah pula perlu memberi ganjaran atau hadiah yang bersesuaian kepada pelajar yang menunjukkan prestasi yang baik dalam persatuan seperti Persatuan Bahasa Melayu, persatuan Perdagangan dan Pengguna dan sebagainya supaya pelajar terus berminat dalam aktiviti –aktiviti berpersatuan.

PEMAHAMAN / RINGKASAN : Faedah Berpersatuan

Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah berpersatuan dalam kalangan belia.  Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.  Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. 


Pelbagai mekanisme boleh dilakukan dalam usaha mengisi erti kemerdekaan negara.  Belia memainkan peranan penting dalam memastikan kemerdekaan terpelihara dan pembangunan negara menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.  Antara kaedah bagaimana belia dapat memastikan kelangsungan pembangunan negara berjalan rancak dan meningkatkan makna kemerdekaan ialah menerusi kegiatan berpersatuan.  Berpersatuan dapat meningkatkan pembabitan belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan.
                Di samping itu, kegiatan berpersatuan mampu membudayakan sikap murni belia selaras dengan usaha mewujudkan masyarakat prihatin.  Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan memberitahu hanya 2.5 juta daripada belia negara ini  yabg berdaftar sebagai ahli dalam pelbagai persatuan belia.  Jumlah itu menunjukkan belia di negara ini tidak gemar menyertai persatuan.  Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa berusaha menggerakkan pelbagai program bagi memupuk minat belia untuk berpersatuan.
                Pihak kerajaan juga tidak pernah meminggirkan peranan yang dimainkan oleh pihak belia dalam pembangunan negara, sebaliknya segala perancangan dan dasar yang dibuat kerajaan, belia turut diberi perhatian.  Dalam mengimarahkan lagi pembabitan golongan muda dalam persatuan, pertubuhan belia perlu mengorak langkah lebih aktif untuk menarik golongan belia dalam  berpersatuan.  Dalam diri belia pula perlu ditanam bahawa kegiatan berpersatuan sebagai sebahagian ibadat.  Berpersatuan dapat melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana yang harmoni.
                Pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan keyakinan apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan.  Kesan daripada berpersatuan membawa kepada pembentukan peribadi yang lebih berwibawa.  Malah berpersatuan dapat meluaskan pengetahuan dan menambah pelbagai kemahiran diri.  Namun, mahasiswa yang aktif dalam persatuan mesti diiringi pencapaian akademik yang cemerlang.  Seterusnya, peranan belia sentiasa penting sama ada ketika menuntut kemerdekaan atau dalam pembangunan  negara pada masa kini.  Sebenarnya, persatuan  belia sejak dahulu memainkan peranan penting dalam membantu pemimpin masyarakat menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Belia Tidak Aktif Rugikan Negara”,oleh Dr. Saipon, Berita Harian, 
 30 April 2011)


Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan berikut:
i)                    Berikan maksud rangkai kata “meminggirkan peranan”,mengikut konteks dalam petikan di atas.                                                                                                   [2 markah]
ii)                   Naytakan usaha-usaha yang dilakukan untuk mengalakkan golongan belia menyertai kegiatan berpersatuan.                                                                                     [4 markah]
iii)                 Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak ibu bapa dan sekolah supaya pelajar aktif dalam kegiatan berpersatuan?                         [4 markah]

Monday, April 7, 2014

ULBS : Wawancara Tokoh Sukan

Melengkapkan Karangan Contoh
Anda wartawan sebuah majalah sukan. Anda ditugaskan menemu ramah seorang tokoh sukan di negara kita. Tulis temu ramah itu selengkapnya.

Farouq:                   Selamat pagi, Encik Gunalan. Saya Farouq, wartawan majalah “SUKAN”. Terima kasih kerana Encik Gunalan sudi meluangkan ________ untuk ditemu ramah.
 
Encik Gunalan:               Selamat pagi. Sebenarnya saya tidak mempunyai apa-apa program khusus pada petang ini. Oleh itu, saya ada sedikit masa __________. Walau bagaimanapun, terima kasih juga kerana _________ menemu ramah saya.
 
Farouq:                         Sama-sama. Baiklah, Encik Gunalan. Bagaimanakah Encik Gunalan mula-mula menceburkan ________ dalam lapangan badminton ini?
 
Encik Gunalan:               Semuanya bermula ketika saya mula menuntut di sekolah rendah. Sekolah rendah saya telah menganjurkan suatu perlawanan badminton. Saya turut _____________ perlawanan tersebut atas dasar untuk suka-suka saja. Dengan tidak disangka-sangka, saya telah menjuarai perlawanan tersebut.
 
Farouq:                         Oh, nampaknya kejayaan yang tidak disangka-sangka pada mulanya telah ______________ kejayaan-kejayaan yang lain!
 
Encik Gunalan:               Ya, begitu nampaknya. Kejayaan yang tidak disangka-sangka membuka _________ kepada saya dalam lapangan badminton seterusnya.
 
Farouq:                         Jadi, sudah berapa lama Encik Gunalan terlibat ______ sukan badminton ini?
 
Encik Gunalan:               Lebih kurang 20 tahun. Saya mewakili negara selama lapan tahun. Kemudian, saya menjadi pengurus _________ negara lebih kurang 12 tahun.
 
Farouq:                         Apakah kejayaan yang telah dikecapi oleh Encik Gunalan setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam sukan badminton ini?
 
Encik Gunalan:               Memang banyak kejayaan yang saya kecapi tetapi kejayaan yang paling besar adalah ketika ___________ Piala Terbuka China dan Denmark pada tahun 1983, 1984, dan 1985. Saya berasa amat bangga kerana telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di ___________ dunia.
 
Farouq:                         Tahniah, Encik Gunalan! Saya percaya, terdapat kenangan pahit manis Encik Gunalan sebagai seorang juara sukan. Apakah kenangan paling manis yang pernah dialami oleh Encik Gunalan?
 
Encik Gunalan:               Oh, memang banyak! Setiap kali menjadi juara merupakan kenangan manis bagi saya. Namun, kenangan paling manis saya ialah semasa saya dinobatkan sebagai “Tokoh Sukan Negara” pada tahun 1985. Saya tidak ____________ menyangka bahawa saya akan mendapat pengiktirafan sedemikian rupa.
 
Farouq:                         Apakah rancangan Encik Gunalan selepas ini?
 
Encik Gunalan:               Saya bercadang untuk membuka sebuah kelab badminton untuk mengajar dan melatih ___________ muda yang berminat dalam sukan badminton. Dengan cara ini juga masa lapang mereka tidak akan dihabiskan dengan sia-sia.
 
Farouq:                         Baguslah kalau begitu, Encik Gunalan. Saya berharap agar Encik Gunalan berjaya. Baiklah Encik Gunalan, terima kasih sekali lagi kerana _______ meluangkan masa bersama-sama saya untuk menjayakan sesi temu ramah ini.
 
Encik Gunalan:               Ya, terima kasih kembali.