Thursday, May 15, 2014

ANTOLOGI HSL : Sajak Orang Tua

SAJAK ORANG TUA :   Puspa Rani a/p Munusamy

Maksud sajak
Rangkap 1: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap nasib seorang wanita tua yangmerempat di tepi jalan dalam keadaan yang tidak terurus. Wanita tua itu berjalan tanpahaluan sambil membawa begnya yang buruk.
Rangkap 2: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap seorang lelaki tua yang begitu daifhidupnya. Lelaki tua itu tiada tempat kediaman. Dia hanya duduk di sudut tanggamenunggu sisa makanan daripada restoran mamak.
Rangkap 3: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap nasib orang tua yag terlibat dalamkemalangan jalan raya. Lebih memilukan apabila mayatnya tidak dihiraukan dan tiadawaris yang menuntut mayatnya di bilik mayat.
Rangkap 4: Penyajak menjelaskan bahawa kita adalah serupa kerana kita semua ialah makhlukciptaan Tuhan. Yang berbeza antara kita dengan orang tua itu ialah orang tua itu tidakdipedulikan oleh anak-anaknya. Hal ini disebabkan rendahnya moral dan hati budianak-anaknya.

Tema
Tema sajak ini ialah kesengsaraan yang dialami oleh wanita tua akibat diabaikan.

Persoalan
a)Penderitaan hidup warga tua.
b)Sikap anak-anak yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengenang budi.
c)Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.

Nada
Sinis

Bentuk
a)Berbentuk bebas
b)Terdiri daripada empat rangkap
c)Berisi enam baris serangkap
d)Bilangan katanya satu hingga enam patah kata sebaris
e)Terdiri daripada satu hingga tiga belas suku kata sebaris
f)Rima akhir rangkap pertama ialah abcdee , rima akhir rangkap kedua ialah abcdce, rima akhir rangkap ketiga ialah abacbb, dan rima akhir rangkap keempat ialah abccda.

Unsur-unsur Bunyi
a)Asonansi (pengulangan vokal a). Contohnya: Nampakkah kau tiada siapa datang menuntutnya.
(pengulangan vokal e). Contohnya: membawa bersamanya beg usang tetapi bezanya mereka diabaikan.
(pengulangan vokal i). Contohnya: mayat si tua dibiarkan di situ.
b)Aliterasi (pengulangan konsonan l). Contohnya: lelaki tua di hujung jalan.
(pengulangan konsonan m). Contohnya: mukanya comot rambutnya kusut.
(pengulangan konsonan t). Contohnya: tanpa suatu destinasi.

Gaya Bahasa
a)Repetisi (pengulangan kata dalam baris ayat yang sama). Contohnya: ayat Nampakkah kau pada baris pertama rangkap 1, 2, dan 3.
b)Sinkope. Contohnya: kau.
c)Peribahasa. Contohnya: mengalas perut.
d)Bahasa puitis. Contohnya: mukanya comot rambutnya kusut.

Nilai
a)Kasih sayang. Contohnya: kasih sayang terhadap kedua ibu bapa perlu disemai agarperasaan tersebut kekal berpanjangan.
b)Mengenang budi. Contohnya: membalas segala jasa yang telah dicurahkan olehkedua ibu bapa.
c)Prihatin. Contohnya, mengambil berat terhadap ibu bapa.

Pengajaran
a)Kita hendaklah memberikan sepenuh kasih sayang terhadap golongan warga emasterutamanya ibu bapa.
b)Kita hendaklah membalas budi kedua-dua ibu bapa kita.
c)Kita janganlah mementingkan diri.
d)Kita janganlah lupa akan jasa ibu bapa.

ANTOLOGI HSL : Sajak Rumput ( Khadijah Hashim )

SAJAK RUMPUT ( Khadijah Hashim )

Maksud Sajak
Rangkap 1: Keluhan insan yang nasibnya diibaratkan seperti rumput. Sebelum sempat untuk bangun dia sudah ditindas oleh seseorang. Sebelum sempat dia menonjolkan kelebihan diri, dia dihina oleh orang lain. Ditambah pula dengan persekitaran yang serba kekurangan dan tidak selesa. Namun demikian, masih ada yang bersimpati dengan kesusahannya.

Rangkap 2: Sebelum sampai hajatnya menunjuk bakat, ada pula yang memperkecil bakatnya tanpa menghiraukan nasib golongan susah demi keuntungan mereka semata-mata.

Rangkap 3: Penyajak menyatakan keluhan orang susah yang tiada apa-apa lebih malang berbanding orang susah yang masih ada tempat berlindung.

Tema
Rintihan nasib seseorang yang dipandang rendah dan dipandang hina.

Persoalan
(a)    Sikap hormat-menghormati sesama insan walaupun terhadap golongan yang kurang berkemampuan. Golongan yang berkedudukan tinggi sering tidak menghormati golongan miskin.
(b)   Penghargaan kepada orang lain. Menghargai bakat seseorang itu walaupun miskin.
(c)    Penindasan terhadap golongan bertaraf rendah. Golongan bertaraf rendah selalu menjadi alat untuk kepentingan golongan atasan.
(d)   Cabaran dalam kehidupan. Walaupun berada dalam kesusahan dan keperitan, kelangsungan hidup perlu diteruskan.

Bentuk
(a)    Sajak ini berbentuk bebas.
(b)   Mengandungi tiga rangkap.
(c)    Baris-baris ayat dan rima akhir:
- Rangkap 1 terdapat 8 baris ayat. Rima akhirnya aaabcddd.
-Rangkap 2 terdapat 6 baris ayat. Rima akhirnya ababcc.
-Rangkap 3 terdapat 2 baris ayat. Rima akhirnya ab.

Unsur-unsur Bunyi
(a)    Asonansi. (pengulangan vokal a). Contohnya: baru saja tangan hendak menari,
(pengulangan vokal i). Contohnya: mujur embun pagi membersih diri,  Nasib rumput di tepi jalan.
(pengulangan vokal u). Contohnya: diserbu debu menutup muka, tak sehijau rumput di padang.
(b)   Aliterasi. (pengulangan konsonan b). Contohnya:  baru saja hendak berbedak.
(pengulangan konsonan n). Contohnya: cuaca panas angin kering.

Gaya Bahasa
(a)    Personifikasi. Contohnya: tangan hendak menari.
(b)   Sinkope. Contohnya: tak.
(c)    Repetisi. Contohnya: frasa baru saja diulang pada rangkap pertama baris 1 dan 3, rangkap kedua baris 1.
(d)   Anafora ( pengulangan kata pada awal baris). Contohnya: cepat panjang cepat dapat wang!
(e)    Simile. Contohnya: bagai menunggu mati, sehijau rumput.

Nilai
(a)    Ketabahan. Contohnya, segala ujian dan rintangan dalam kehidupan dilalui dengan penuh ketabahan.
(b)   Kegigihan. Contohnya, sikap gigih mendorong seseorang untuk berusaha mencapai kejayaan meskipun serba kekurangan.

Pengajaran
(a)    Janganlah kita menghina orang yang susah atau miskin.
(b)   Kita perlu mengamalkan sikap hormat- menghormati, terutamanya terhadap golongan miskin.
(c)    Janganlah kita memandang rendah akan bakat seseorang.
(d)   Janganlah kita menutup peluang orang lain, terutamanya peluang golongan orang susah atau miskin.


Wednesday, May 14, 2014

RINGKASAN / PEMAHAMAN (4) : Kesan Pembakaran Secara Terbuka

RINGKASAN / PEMAHAMAN : Kesan Aktiviti Pembakaran Secara Terbuka

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kesan-kesan aktiviti pembakaran sampah secara terbuka. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Pembakaran secara terbuka sering kali menimbulkan masalah kepada orang ramai. Lebih mengecewakan lagi apabila pemabakaran terbuka itu dilakukan secara sengaja di pusat-pusat pelupusan sampah. Penduduk di kawasan sekitar pastinya berasa tidak selesa apabila terpaksa terus-menerus menghidu bau yang busuk lagi meloyakan. Malangnya kegiatan pembakaran sampah secara terbuka ini seolah-olah tiada penghujungnya kerana tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa kepada syarikat atau pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Keadaan ini ditambah pula dengan kesedaran orang ramai terhadap kesan pembakaran terbuka adalah rendah.

Musibah yang datang daripada pembakaran terbuka tidak terhenti setakat pencemaran bau sahaja malah lebih dahsyat lagi ialah air busuk ammonia yang terhasil di kawasan pelupusan sampah secara terbuka ini menyebabkan aliran air tersebut mengalir ke sungai berdekatan. Sungai yang tercemar seterusnya akan mengundang lebih banyak permasalahan. Penduduk-penduduk yang bergantung hidup kepada sungai untuk mencari rezeki kerap mengeluh kerana hidupan akuatik seperti ikan mahupun udang akan mati apabila air sungai tercemar.

Perbuatan membakar sampah-sarap sama ada secara besar-besaran di tapak pelupusan sampah mahupun dilakukan oleh individu-individu tertentu tanpa disedari mengundang bahaya yang lebih buruk, iaitu jerebu. Pada masa jerebu melanda negara, nampaknya kesedaran umum terhadap kesan pembakaran terbuka kian meningkat dan pembakaran terbuka tidak lagi dilakukan. Namun, apabila negara bebas daripada jerebu, pembakaran terbuka nampaknya berulang kembali.

Sebenarnya pembakaran terbuka secara berterusan khasnya di pusat pelupusan sampah boleh menyebabkan penduduk di kawasan sekitar mengalami batuk, asma dan demam yang berpanjangan terutamanya kanak-kanak dan orang tua. Sewajarnya pihak-pihak tertentu peka terhadap masalah yang melibatkan kesihatan penduduk dengan menutup semua pusat pelupusan sampah yang menggunakan kaedah pembakaran terbuka.

Di Malaysia, kesedaran orang ramai khasnya terhadap kesan pembakaran terbuka nampaknya masih terlalu rendah. Oleh yang demikian, kerajaan perlu menguatkuasakan peraturan atau akta berkaitannya supaya masyarakat sedar bahawa melakukan pembakaran terbuka adalah satu kesalahan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Penduduk Derita Jerebu
Pembakaran Sampah”, Utusan Malaysia, 24 Julai 2007)

Pemahaman
Berdasarkan petikan , jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.
1.Apakah maksud frasa seolah-olah tiada penghujungnya? [ 2 markah ]
2.Mengapakah pembakaran terbuka sukar hendak dihapuskan? [ 4 markah ]
3.Kitar semula mampu mengelakkan pembakaran sampah secara terbuka.
Berikan dua kebaikan amalan kitar semula. [ 4 markah ]

JAWAPAN MODUL RINGKASAN / PEMAHAMAN
Ringkasan – Kesan pembakaran sampah sarap

Antara kesan pembakaran terbuka ialah penduduk di kawasan sekitar berasa tidak selesa kerana terpaksa menghidu bau yang busuk lagi meloyakan. Air busuk ammonia di kawasan pelupusan sampah menyebabkan aliran air tersebut mengalir ke sungai berdekatan. Tambahan pula, pencemaran sungai menjadikan hidupan akuatik seperti ikan mahupun udang akan mati. Pembakaran terbuka mengakibatkan jerebu sementara sampah sarap yang bertaburan di tepi jalan menimbulkan suatu pemandangan yang menjijikan. Penduduk di kawasan sekitar selalu mengalami batuk, asma dan demam yang berpanjangan terutamanya kanak-kanak dan orang tua. ( 82 patah perkataan )

Pemahaman
1. Rangkai kata ‘seolah-olah tiada penghujungnya’ bererti seperti tiada kesudahan.

2. Pembakaran terbuka sukar dihapuskan kerana tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa kepada syarikat atau pihak yang bertanggungjawab. Di samping itu, kurangnya kesedaran orang ramai terhadap kesan pembakaran terbuka juga mengakibatkan masalah tersebut sukar dihapuskan.

3. Kebaikan kempen kitar semula ialah bahan-bahan buangan dapat diuruskan dengan lebih teratur kerana dapat digunakan semula. Selain itu, pencemaran alam akibat pembuangan barangan terpakai dapat dikawal melalui kempen kitar semula.

RINGKASAN / PEMAHAMAN (3) : Punca-Punca Remaja Merokok

Punca-Punca Remaja Merokok

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca remaja merokok. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Keprihatinan banyak pihak tentang bahaya merokok menyebabkan pelbagai usaha dijalankan untuk membendung gejala negatif ini daripada terus mempengaruhi para remaja. Kebanyakan remaja terutamanya pelajar sekolah mengakui bahawa mereka merokok lantaran pengaruh daripada rakan sebaya. Sikap terikut-ikut dengan tabiat tidak sihat ini seterusnya akan menghanyutkan mereka sehingga merasakan bahawa merokok itu bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup.

Tidak kurang juga yang secara jujur mengakui bahawa rasa bosan dengan beban tugas sebagai pelajar telah mendorong mereka menghisap rokok. Jika alasan ini dikaji, ternyata kebanyakan pelajar ini merupakan mereka yang malas dan ada yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M). Oleh itu, mereka dengan mudah menuding jari kepada pihk lain. Ibu bapa menjadi sasaran untuk dipersalah kerana dikatakan bahawa ibu atau bapa yang merokok akan menyebabkan anak-anak mengikut jejak langkah mereka.

Walaupun kita lihat banyak iklan mahupun kempen tidak merokok dijalankan namun remaja tetap remaja. Naluri ingin tahu yang ada pada mereka acapkali mendorong mereka mencuba sesuatu yang ditegah. Naluri ini jika tidak dikawal akan mengakibatkan rasa ketagihan dan rasa seronok apabila dapat menghisap rokok.

Di Malaysia rokok boleh didapati dengan mudah dan boleh dibeli walaupun Cuma sebatang. Keadaan ini menjadikan tabiat merokok semakin berleluasa kerana dengan harga serendah empat puluh sen, pelajar sekolah sudah boleh membeli rokok. Memandangkan longgarnya penguatkuasaan terhadap penjualan rokok, kerajaan masih mengambil langkah-langkah pencegahan supaya masalah remaja merokok dapat diatasi.

Amatlah malang seandainya remaja beranggapan bahawa mereka akan lebih bergaya dan kelihatan lebih dewasa apabila merokok. Alasan ini ternyata salah kerana merokok sebenarnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan sebaliknya mengundang ketagihan yang berpanjangan.
(Dipetik dan diubahsuaian daripada Fokus, September 2004)

Pemahaman

Berdasarkan petikan , jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.
1.Apakah maksud rangkai kata menuding jari kepada pihak lain? [2 markah]
2.Mengapakah penjual rokok tidak mematuhi arahan kerajaan agar tidak menjual rokok kepada remaja? [4 markah]
3.Cadangkan dua langkah untuk mencegah remaja daripada merokok. [4 markah]

JAWAPAN MODUL RINGKASAN DAN PEMAHAMAN

PRAKTIS 1
Ringkasan- Punca-punca remaja merokok

Antara punca remaja merokok adalah disebabkan terpengaruh oleh rakan sebaya yang merokok. Mereka juga beranggapan bahawa merokok bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa mereka bosan dengan beban tugas sebagai pelajar. Di samping itu, remaja juga menyalahkan ibu bapa kerana dikatakan menjadi pendorong kepada mereka untuk merokok walaupun secara tidak langsung. Naluri ingin tahu yang ada pada remaja juga memungkinkan mereka merokok. Seperkara lagi, penguatkuasaan terhadap penjualan rokok menyebabkan masalah ini semakin serius. ( 79 patah perkataan )

Pemahaman
1.Rangkai kata ‘menuding jari kepada pihak lain’ bermaksud menyalahkan orang lain.

2. Penjual rokok tidak mematuhi arahan kerajaan agar tidak menjual rokok kepada remaja bawah umur kerana tidak memahami bahawa mereka juga perlu menjalankan tanggungjawab sosial. Penjual rokok hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan hasrat kerajaan untuk melahirkan remaja yang sihat.

3. Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang melarang remaja merokok di tempat-tempat awam. Media massa perlu membuat publisiti secara meluas tentang implikasi negatif akibat aktiviti merokok.

Thursday, May 1, 2014

Latihan MG : Watak dan Perwatakan Utama


Watak utama memainkan peranan yang penting dalam sesebuah novel.
Berdasarkan novel yang telah anda kaji, nyatakan watak utama dan tiga perwatakannya yang menarik hati anda.

Watak ialah pelaku atau pemegang peranan dalam sesebuah cereka.

Perwatakan pula merujuk kepada ciri-ciri fizikal (luaran) dan ciri-ciri peribadi (dalaman) seseorang itu.

Watak utama dalam novel Merenang Gelora ialah Badri.
Perwatakannya:
• Anak sulung kepada Mak Siti.
• Mempunyai seorang adik lelaki bernama Badrul.
• Berperawakan kemas dan berwibawa dalam menjalankan tanggungjwab sebagai seorang pengawas.
• Pengawas sekolah
• Seorang yang bertanggungjawab. Contoh, Badri seorang yang bertanggungjawab kerana telah berjaya menyelesaikan masalah disiplin seperti penjualan telefon bimbit di sekolah.
• Seorang yang berdisiplin. Contoh, dia tidak pernah melanggar peraturan sekolah sepanjang bergelar pelajar melalui pengetahuan adiknya.
• Seorang yang menepati masa. Contoh, pada pukul 6.40 pagi Badri tidak pernah terlewat menunggu bas awam untuk pergi ke sekolah.
• Seorang yang setia dalam persahabatan. Contoh, Badri berkawan baik dengan Jamil walaupun beliau telah mengetahui bahawa Jamil turut terlibat dalam kes pejualan telefon bimbit di sekolahnya.
• Seorang yang berani menghadapi cabaran. Contoh, Badri bersikap berani menghadapi cabaran dalam menangani masalah murid yang berlagak ala samseng,dan sengaja melanggar disiplin sekolah.
• Seorang yang rajin mengulang kaji pelajaran. Contoh, mengajak Siew Mei dan Taufik membentuk kumpulan belajar.
• Seorang yang berpendirian teguh. Contoh, Badri tidak menghiraukan tentang usikan rakan-rakannya mengenai hubungannya dengan Nadira dan Siew Mei.

ANTOLOGI : Hikayat Inderaputera

Hikayat Inderaputera
Sipnosis

Cerita ini mengisahkan kehebatan dan keistimewaan Inderaputera yang dikatakan gagah perkasa kerana dia pernah berjalan di dalam gua selama sebulan dan berjaya membunuh gergasi bernama Mamdu yang sebelum itu tidak dapat dibunuh oleh Raja Talela  Syah.

    Ayahanda Inderaputera bernama Raja Bikrama Puspa dan bondanya bernama Tuan Puteri Jamjam Ratna Dewi. Setelah Inderaputera dilahirkan, Raja Bikrama menjemput ahli nujum ke istana untuk menilik masa depan anakandanya. Menurut tilikan nujum, Inderaputera akan memerintah kerajaan yang besar tetapi dilarang bermain dengan binatang kerana dibimbangi akan terjadi sesuatu yang buruk. Apabila besar, Inderaputera dihantar mengaji selama tujuh tahun kepada seorang mualim bernama Bersapian.

        Pada suatu ketika Raja Bikrama Buspa menerima kehadiran dua orang utusan ufti yang terdiri daripada tukang emas dan tukang kayu yang mahir lagi hebat.  Si tukang kayu mengukirkan seekor ikan yang indah seperti ikan hidup dan ikan itu boleh ketawa, berpantun dan berseloka apabila diletakkan di dalam air. Tukang emas pula membuat gambar merak daripada emas.  Raja Bikrama Buspa meletakkan merak itu di dalam dulang emas dan perak lalu merak itu menggerak-gerakkan ekornya dan boleh berpantun serta berseloka. Inderaputera yang masih kanak-kanak tertarik dengan merak emas itu lalu turun daripada riba ayahnya. Dengan tidak disangka-sangka merak itu menyambar Inderaputera lalu menerbangkannya.  Ayahanda dan bondanya sangat berduka cita.

         Inderaputera yang diterbangkan telah dijatuhkan oleh merak emas di sebuah negeri dalam sebuah kebun Nenek Kebayan.  Nenek Kebayan yang pulang daripada berjual bunga menjumpai Inderaputera di dalam kebunnya. Inderaputera menceritakan kisahnya kepada Nenek Kebayan.  Nenek Kebayan yang tiada cucu memelihara Inderaputera seperti cucunya sendiri dengan penuh kasih sayang. Sepanjang itu, rezeki nenek kebayan bertambah murah. Suatu hari, Nenek Kebayan membawa Inderaputera berjumpa dengan Perdana Menteri. Perdana Menteri tertarik dengan budi bahasa Inderaputera yang begitu elok sekali. Lalu Perdana Menteri meminta kepada Nenek Kebayan untuk menjadikan Inderaputera anak angkatnya hanya pada sebelah siang. Nenek Kebayan akhirnya bersetuju walaupun berat hati. Akhirnya Inderaputera membesar di bawah jagaan Nenek Kebayan dan Perdana Menteri.

Tema
Cerita ini bertemakan tentang kehebatan dan keluarbiasaan yang dimiliki oleh seseorang. Dalam hal ini, keistimewaan itu dimiliki oleh Inderaputra.

Persoalan
1. Persoalan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. Raja Bikrama Puspa tidak mahu berenggang dengan Inderaputera dan berasa dukacita setelah Inderaputera dilarikan merak emas.

2. Persoalan keutamaan menurut arahan. Negeri-negeri di bawah jajahan Raja Bikram Puspa mengikut arahan membayar ufti kepada baginda.

3. Persoalan kelebihan yang diperoleh apabila memelihara anak yatim. Bunga-bunga di kebun Nenek Kebayan kembang mekar dan hasil jualannya meningkat setelah Nenek Kebayan memelihara Inderaputera sebagai cucu angkat.

Watak Utama
Inderaputera

·        Berwajah menarik.
·        Ayahandanya bernama Maharaja Bikrama Buspa
·        Bondanya bernama Puteri Jamjam Ratna Dewi.
·      Seorang yang memiliki kesaktian seperti boleh membunuh gergasi yang tidak mampu dibunuh oleh orang lain.
·      Pandai membaca Al-quran .
·     Seorang yang merendah diri contohnya, dia hanya makan hidangan setelah Perdana Menteri makan.

Watak Sampingan
Nenek Kebayan
·   Penyayang contohnya nenek Kebayan.sanggup mengambil Inderaputera sebagai cucu angkat.
·                     Seorang yang perihatin terhadap kesusahan orang lain.

Perdana Menteri
·                     Seorang yang bersimpati terhadap nasib orang lain.
·     Mengambil Inderaputera sebagai anak angkat untuk waktu sebelah siang sahaja.

Latar
Latar Masa

· 14 haribulan.
Hari lnderaputera dilahirkan.
 ·     Tujuh tahun: TempohInderaputera dibesarkan sehinggalah dia dilarikan oleh burung merak emas.

Latar Tempat
·               Negeri Semanta Puri.
Negeri ini merupakan negeri tempat memerintahnya Raja Bikrama Buspa.
·               Di dalam istana Raja Bikrama Buspa.
Di sini berlaku peristiwa Inderaputera dilarikan oleh burung merak emas.
·               Di dalam kebun Nenek Kebayan.
Di tempat ini Inderaputera dijatuhkan oleh burung merak emas yang telah menyambarnya.
Di rumah Perdana Menteri.
Di sini Perdana Menteri menjamu Inderaputera makan.

Latar Masyarakat
·               Latar masyarakat yang perihatin terhadap orang lain.
Nenek Kebayan sanggup mengambil Inderaputera sebagai cucu angkat setelah dia dijatuhkan oleh burung merak emas.
·         Latar masyarakat yang mudah lupa akan kesukaran yang pernah berlaku.

·               Latar masyarakat yang sayangkan kanak-kanak.

·           Latar masyarakatnya juga memiliki kesaktian dan keistimewaan yang luar biasa.
Inderaputera yang memiliki kesaktian yang boleh mengalahkan gergasi bernama Mamdu yang tidak dapat dikalahkan oleh Raja Talelah Syah.

Gaya Bahasa

1.      Kata ganda
Tiap-tiap, laki-laki, kaya-kaya, hina-dina, gilang-gemilang
2.      Inversi
Tuan puteri pun beranaklah seorang lelaki terlalu sekali elok paras rupanya
3.      Simile
Terlalu sekali elok paras rupanya seperti matahari baharu terbit gilang-gemilang
4.      Bahasa istana
Baginda, santap, semayam
5.      Bahasa Arab
Al-Quran

Nilai
1.      Nilai kebijaksanaan.
Kebijaksanaan ketara ditonjolkan pada watak Inderaputera yang berjaya menewaskan gergasi bernama Mamdu dengan menggunakan kebijaksanaan.

2.      Nilai kasih sayang.
Hal ini ditunjukkan oleh Maharaja Bikrama Buspa yang begitu sayangkan anakandanya Inderaputera.

3.      Nilai pemurah.
Maharaja Bikrama Buspa menganugerahkan sepersalinan kepada setiap ahli nujum yang datang menilik nasib anaknya.

4.      Nilai berbudi bahasa.
Inderaputera sungguh berbudi bahasa kepada Nenek Kebayan yang menjumpainya dan membelanya.

5.      Nilai kejujuran
Inderaputera berlaku jujur  dengan menerangkan asal usulnya dan bagaimana dia boleh berada dalam kebun Nenek Kebayan.


Pengajaran
1.    Kita hendaklah selalu berhati-hati dan berwaspada terhadap ancaman yang tidak dijangka-jangka. Jika tidak berwaspada ada kemungkinan perkara buruk akan berlaku. Sikap Maharaja Bikrama Buspa yang lalai terhadap burung merak  emas telah mengakibatkan anakandanya dilarikan oleh burung berkenaan.

2.   Kita hendaklah memberikan pendidikan agama kepada anak-anak. Sebagai contoh, Maharaja Bikrama Buspa mencarikan seorang guru agama untuk anakandanya belajar mengaji selama tujuh tahun.

3.  Kita mestilah menghargai jasa orang kepada kita.  Maharaja Bikrama Buspa menghargai jasa para nujum dengan mengurniakan persalinan setelah menilik nasib Inderaputera.

4.         Kita hendaklah bijak menyesuaikan diri ketika berada di tempat orang. Sikap ini  ditunjukkan oleh Inderaputera yang merendahkan diri ketika berhadapan Perdana Menteri. Dia tidak makan selagi Perdana Menteri tidak selesai makan.