Wednesday, April 16, 2014

PEMAHAMAN/RINGKASAN : Implikasi Kegiatan Buli

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang implikasi-implikasi yang ditimbulkan oleh kegiatan buli. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Isu buli bukanlah isu yang baharu dalam kalangan masyarakat. Kegiatan buli bukan sahaja berlaku di sekolah malahan berlaku dalam mana-mana institusi seperti institusi pengajian tinggi, swasta dan kerajaan. Isu buli ini perlu disesaikan melalui pendekatan kolektif. Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan gejala ini tidak terus menjadi isu yang serius. Malangnya, apabila setiap kali menyelak akhbar atau menonton televisyen, masyarakat disajikan dengan isu buli di sana sini. Senario sebegini akan membawa impak yang besar kepada pembangunan negara Malaysia yang maju dan bertamadun. Malahan, modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang diimpikan dalam wawasan perdana tidak dapat direalisasikan.

Dalam satu kajian, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gejala buli terjadi, iaitu isu pembuli berasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan atau fizikal. Malahan, kajian juga menunjukkan bahawa kebanyakan mereka yang terlibat dengan kes buli ini tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dengan ibu bapa. Sebaliknya, kebanyakan mereka datang daripada hubungan kekeluargaan yang tidak mengambil berat akan didikan agama. Budaya buli jika dijadikan kelaziman akan menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan. Isu buli jika tidak ditangani dengan bijaksana dapat merencatkan pembangunan kerajaan terutama dalam menyemai moral yang luhur.

Realitinya, perbuatan buli sehingga menimbulkan keganasan di luar batasan kemanusiaan perlu ditentang. Hal ini demikian kerana tindakan si pembuli akan mencemarkan imej negara di mata dunia. Justeru, negara akan gagal melahirkan suatu bangsa yang berjiwa merdeka jika gagal mengatasi gejala buli daripada terus berleluasa. Yang lebih ditakuti ialah budaya buli akan menjadi suatu budaya yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Oleh itu, anak-anak kita juga akan menghadapi kesukaran untuk menimba ilmu kerana wujudnya persekitaran yang tidak membantu mereka untuk belajar dalam suasana yang kondusif dan aman.

Tiada gunanya negara mampu melahirkan bijak pandai dalam pelbagai bidang, sedangkan sahsiah mereka berada pada tahap yang paling rendah. Oleh itu, setiap program atau garis panduan yang bakal dibuat untuk menangani masalah buli perlu dipantau dengan lebih konsisten oleh pihak yang berkenaan agar masalah ini tidak mengganggu kelancaran agenda pembangunan yang disusun oleh kerajaan.


(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana, “Budaya Buli Sepatutnya Sudah  Berlalu”, Utusan Malaysia, Februari 2007)

PEMAHAMAN
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan berikut

1. Berikan maksud rangkai kata “dipantau dengan lebih konsisten" mengikut konteks dalam petikan di atas.   (2M)
2. Nyatakan faktor-faktor  yang menyebabkan gejala buli terjadi ? (3M) 
3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan supaya gejala buli dapat diatasi ?   (4M)

RINGKASAN
Jadual Isi

ISI
HURAIAN
1
Kegiatan buli menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan.
2
Dapat merencatkan agenda pembangunan kerajaan terutama dalam menyemai moral yang luhur.
3
Tindakan si pembuli akan mencemarkan imej negara di mata dunia.
4
Negara akan gagal melahirkan suatu bangsa yang berjiwa merdeka jika gagal mengatasi gejala buli daripada terus berleluasa.
5
Budaya buli akan menjadi satu budaya yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi.

Latihan Ringkasan.

Implikasi yang timbul akibat kegiatan buli adalah mangsa akan mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan. Kegiatan ini juga akan membantutkan usaha pembangunan kerajaan dalam menyemai nilai murni dalam kalangan rakyat. Pembuli juga akan mencemarkan maruah negara kepada negara luar. Selain itu, negara akan gagal melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka jika kegiatan ini berterusan. Akhir sekali, kegiatan negative ini pasti akan menjadi budaya masyarakat jika tidak dibendung dari akar umbi.
                                                                                                                        (70 patah perkataan)



No comments:

Post a Comment