Wednesday, April 23, 2014

PEMAHAMAN/RINGKASAN : Langkah-Langkah Berjimat Cermat


PEMAHAMAN

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah berjimat cermat. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
      Kenaikan harga barang kini merupakan ekoran kenaikan harga minyak. Oleh itu, setiap orang terasa bebannya termasuk golongan yang berpendapatan sederhana. Walaupun kita amat berharap agar kerajaan mengawal harga barang bagi mengurangkan beban, kita perlu berusaha untuk mengurangkan kesan kenaikan harga. Dalam situasi ini, kita perlu berjimat ketika berbelanja. Kalau dahulu kita telah mengamalkan sikap jimat cermat, kini kita perlu lebih berkira-kira lagi. Jika dahulu kita hanya berjimat dari segi penggunaan petrol, kini kita harus mengurangkan amalan makan di luar, membeli barangan mewah dan sebagainya.

      Perancangan kewangan juga penting. Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan. Dengan kata lain, pendapatan patut diagihkan kepada simpanan dan perbelanjaan. Pada peringkat keluarga, perancangan kewangan mesti dibuat secara bersama-sama oleh suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin. Hasil perbincangan ini pula, harus dijelaskan kepada anak-anak supaya mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan.
 
     Dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi. Untuk itu, kita perlu berilmu dan ilmu boleh didapati melalui pembacaan dan pemelajaran. Buku-buku panduan pengurusan kewangan yang banyak terdapat di pasaran boleh dijadikan rujukan sekiranya kita serius hendak menguruskan kewangan keluarga dengan bijak. Di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik. Pihak pengurusan hendaklah mengawal penggunaan kemudahan pejabat seperti mesin fotostat, alat tulis dan kertas. Pekerja perlu memahami  sebab-sebab langkah penjimatan diambil dan bekerjasama dalam melaksanakannya. Arahan demi arahan tanpa penjelasan yang munasabah, tidak akan meninggalkan bekas. Para pekerja  juga sukar untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak pengurusan tidak menunjukkan teladan yang baik dalam malaksanakan langkah penjimatan ini.
                                                                                    (Dipetik dan diubahsuaikan daripada
                                                                                      ‘ Masa Berkira ketika Berbelanja’,
                                                                                      Utusan Malaysia, 11 Ogos 2005)

Pemahaman


Berdasarkan petikan Bahagian A ( i ), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1.  Berikan maksud rangkai kata  menunjukkan teladan. 

2.  Berdasarkan petikan, nyatakan dua kesan kenaikan harga minyak.
3.  
Pada pendapat anda, bagaimanakah amalan berjimat cermat dapat dipupuk sejak       kecil?                                                                                                 

Panduan Jawapan

Soalan 1
menunjukkan teladan
menunjukkan  - mempamerkan / memperlihatkan
teladan  - contoh /ikutan        

Soalan 2
Dua kesan kenaikan harga minyak ialah  kenaikan harga barang dan setiap orang terasa bebannya termasuk golongan yang berpendapatan sederhana

Soalan 3
Amalan berjimat cermat dapat dipupuk sejak kecil melalui kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan. Selain itu, amalan ini dapat dipupuk melalui didikan guru-guru di sekolah


RINGKASAN
Contoh isi dalam petikan ialah:

a)  Dalam situasi ini, kita perlu berjimat ketika berbelanja.
b)  Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan.
c)  Pada peringkat keluarga, perancangan kewangan mesti dibuat secara bersama- sama oleh  suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin.
d)  Hasil perbincangan ini pula, harus dijelaskan kepada anak-anak supaya  mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan.
e)  Dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi
f)   Di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik.
g)  Pihak pengurusan hendaklah mengawal penggunaan kemudahan pejabat.

Senarai penanda wacana:

-          Biarpun demikian                                        -     Oleh sebab itu
-          Di samping itu                                             -     Sehubungan dengan itu
-          Justeru                                                         -     Selain itu
-          Lebih-lebih lagi                                           -     Tambahan pula
-          Meskipun demikian                                     -     Walau bagaimanapun
-          Namun begitu                                              -     Walaupun begitu
-          Oleh itu                                                       -     Untuk itu
-          Akhir sekali                                                 -     Umum
-          Seterusnya

Contoh Ringkasan

             Langkah-langkah berjimat cermat termasuklah, kita perlu berjimat ketika berbelanja. Selain itu, pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira simpanan atau tabungan. Seterusnya, pada peringkat keluarga, perancangan kewangan perlu dibuat secara bersama- sama oleh suami isteri supaya mereka jelas tentang kedudukan  ekonomi mereka dan menyumbangkan idea tentang cara untuk menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi, hasil perbincangan ini pula, perlu dijelaskan kepada anak-anak supaya  mereka turut faham dan bersama-sama melaksanakan langkah penjimatan. Umumnya, dalam krisis kenaikan harga barang ini, mahu tidak mahu, kita perlu menjadi pengguna yang bijak menguruskan kewangan peribadi. Di samping itu, di tempat kerja pula, warga kerja mesti menjimatkan penggunaan elektrik.





No comments:

Post a Comment