Thursday, April 17, 2014

Latihan MG : Nilai Kegigihan / Nilai Keberanian / Nilai Kasih Sayang

 
NILAI – KEGIGIHAN
Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai kegigihan.
 
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai kegigihan dalam novel ini.
Peristiwa yang pertama, Badri gigih menjalankan tugasnya sebagai seorang pengawas yang menghadapi banyak cabaran.
Selain itu, peristiwa Badri telah disimbah dengan air mangkuk tandas. Oleh yang demikian Badri meminta izin untuk pulang awal.
Akhir sekali, peristiwa Badri dirempuh oleh seseorang sehingga tersungkur. Peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat Badri sebagai seorang pengawas.
 
NILAI- KEBERANIAN
Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian.
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian dalam novel ini.
Peristiwa yang pertama ialah Badri tidak takut untuk menyiasat aktiviti Shahrul dan kawan-kawannya demi memastikan salah laku pelajar berjaya dibanteras.
Selain itu, peristiwa Badri berhadapan dengan Shahrul yang menyerangnya. Namun kehandalan Badri dalam ilmu silat berjaya menewaskan Shahrul sehingga mereka lari bertempiaran menyelamatkan diri.
Akhir sekali, peristiwa Badri membawa Kumar ke guru disiplin kerana Badri mengesyaki Kumar yang menyimbah air mangkuk tandas terhadapnya.
NILAI- KASIH SAYANG
Berdasarkan novel “Merenang Gelora”, jelaskan tiga peristiwa yang menggambarkan nilai kasih sayang.
Novel yang saya kaji ialah “Merenang Gelora” karya Ruslan Ngah. Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan nilai kasih sayang dalam novel ini.
Peristiwa yang pertama Badri mahu membahagiakan kedua-dua ibu bapanya sebagai tanda kasih sayang mereka membesarkannya.
Selain itu, peristiwa Siew Mei sayang akan abangnya, Siew Mei berjumpa Badri di sebuah restoran untuk meminta bantuan agar abangnya tidak dibuang kerja oleh bapa Meng Kong.
Akhir sekali, peristiwa Jamil berpindah dan bersekolah di Sarawak kerana diminta berbuat demikian oleh ibu bapanya.

Wednesday, April 16, 2014

PEMAHAMAN/RINGKASAN : Implikasi Kegiatan Buli

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang implikasi-implikasi yang ditimbulkan oleh kegiatan buli. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Isu buli bukanlah isu yang baharu dalam kalangan masyarakat. Kegiatan buli bukan sahaja berlaku di sekolah malahan berlaku dalam mana-mana institusi seperti institusi pengajian tinggi, swasta dan kerajaan. Isu buli ini perlu disesaikan melalui pendekatan kolektif. Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan gejala ini tidak terus menjadi isu yang serius. Malangnya, apabila setiap kali menyelak akhbar atau menonton televisyen, masyarakat disajikan dengan isu buli di sana sini. Senario sebegini akan membawa impak yang besar kepada pembangunan negara Malaysia yang maju dan bertamadun. Malahan, modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang diimpikan dalam wawasan perdana tidak dapat direalisasikan.

Dalam satu kajian, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gejala buli terjadi, iaitu isu pembuli berasa puas apabila berjaya menyakiti mangsa secara lisan atau fizikal. Malahan, kajian juga menunjukkan bahawa kebanyakan mereka yang terlibat dengan kes buli ini tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang kukuh dengan ibu bapa. Sebaliknya, kebanyakan mereka datang daripada hubungan kekeluargaan yang tidak mengambil berat akan didikan agama. Budaya buli jika dijadikan kelaziman akan menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan. Isu buli jika tidak ditangani dengan bijaksana dapat merencatkan pembangunan kerajaan terutama dalam menyemai moral yang luhur.

Realitinya, perbuatan buli sehingga menimbulkan keganasan di luar batasan kemanusiaan perlu ditentang. Hal ini demikian kerana tindakan si pembuli akan mencemarkan imej negara di mata dunia. Justeru, negara akan gagal melahirkan suatu bangsa yang berjiwa merdeka jika gagal mengatasi gejala buli daripada terus berleluasa. Yang lebih ditakuti ialah budaya buli akan menjadi suatu budaya yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Oleh itu, anak-anak kita juga akan menghadapi kesukaran untuk menimba ilmu kerana wujudnya persekitaran yang tidak membantu mereka untuk belajar dalam suasana yang kondusif dan aman.

Tiada gunanya negara mampu melahirkan bijak pandai dalam pelbagai bidang, sedangkan sahsiah mereka berada pada tahap yang paling rendah. Oleh itu, setiap program atau garis panduan yang bakal dibuat untuk menangani masalah buli perlu dipantau dengan lebih konsisten oleh pihak yang berkenaan agar masalah ini tidak mengganggu kelancaran agenda pembangunan yang disusun oleh kerajaan.


(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana, “Budaya Buli Sepatutnya Sudah  Berlalu”, Utusan Malaysia, Februari 2007)

PEMAHAMAN
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan berikut

1. Berikan maksud rangkai kata “dipantau dengan lebih konsisten" mengikut konteks dalam petikan di atas.   (2M)
2. Nyatakan faktor-faktor  yang menyebabkan gejala buli terjadi ? (3M) 
3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan supaya gejala buli dapat diatasi ?   (4M)

RINGKASAN
Jadual Isi

ISI
HURAIAN
1
Kegiatan buli menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan.
2
Dapat merencatkan agenda pembangunan kerajaan terutama dalam menyemai moral yang luhur.
3
Tindakan si pembuli akan mencemarkan imej negara di mata dunia.
4
Negara akan gagal melahirkan suatu bangsa yang berjiwa merdeka jika gagal mengatasi gejala buli daripada terus berleluasa.
5
Budaya buli akan menjadi satu budaya yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi.

Latihan Ringkasan.

Implikasi yang timbul akibat kegiatan buli adalah mangsa akan mengalami gangguan mental dan fizikal secara berterusan. Kegiatan ini juga akan membantutkan usaha pembangunan kerajaan dalam menyemai nilai murni dalam kalangan rakyat. Pembuli juga akan mencemarkan maruah negara kepada negara luar. Selain itu, negara akan gagal melahirkan rakyat yang berjiwa merdeka jika kegiatan ini berterusan. Akhir sekali, kegiatan negative ini pasti akan menjadi budaya masyarakat jika tidak dibendung dari akar umbi.
                                                                                                                        (70 patah perkataan)



Thursday, April 10, 2014

MG : Nilai dan Pengajaran

NILAI-NILAI MURNI

1 - Nilai Kasih Sayang
Badri tetap meneruskan hasrat untuk menceritakan perihal Shahrul kepada Nadira walaupun tahu Nadira tidak akan mempercayai. Hal ini demikian kerana Badri sayang akan masa depan Nadira.

2 - Nilai Ketabahan
Badri tetap dengan tugasnya sebagai pengawas walaupun berbagai-berbagai dugaan,cemuhan, ugutan dan tindakan yang dihadapi dengan tabah

3 - Nilai Kegigihan
Badri gigih berusaha sehingga memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan SPM

4 - Nilai Bertanggungjawab
Mak Siti seorang ibu yang bertanggungjawab memasak nasi lemak dan sambal sotong untuk sarapan pagi anak-anaknya

5 - Nilai Prihatin
En Tan berusaha mendapatkan tempat di asrama untuk anaknya Meng Kong supaya anaknya berubah dan tidak terjebak dengan gejala sosial.

6 - Nilai Sayang Kepada Seni Warisan Bangsa
Badri mempelajari seni mempertahankan diri iaitu silat dengan Pak alangnya dan sentiasa menjaga etika silat di mana-mana saja dia berada.

7 - Nilai Keberanian
Badri tetap ingin berjumpa seseorang yang tidak pasti hanya melalui nota kecil yang terdapat di dalam poketnya.

8 - Nilai Persahabatan
Walaupun Badri,Jamil,Shahrul,Meng Kong,Siew Mei telah ada kehidupan masing-masing namun ingatan persahabatan tetap kekal di sanubari masing-masing

PENGAJARAN

1. Kita perlulah tabah menghadapi cabaran untuk menyelesaikan masalah.
Contoh, Badri tabah menghadapi cabaran ketika menjalankan tugas sebagai seorang pengawas sehingga dia berjaya menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

2. Kita haruslah mempelajari seni mempertahankan diri untuk menjaga keselamatan.
Contoh, Badri dapat mengelakkan serangan Shahrul secara spontan dengan menggunakan ilmu silatnya.

3. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
Contoh, Badri dan Siew Mei gigih belajar sehingga memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan SPM.

4. Kita mestilah tegas dan adil menyelesaikan sesuatu masalah agar tidak menganiaya orang lain.
Contoh, Cikgu Jailani menyelidiki secara terperinci penemuan telefon bimbit di dalam beg Badri.

5. Kita hendaklah berani memberikan maklumat yang benar untuk mengatasi sesuatu masalah.
Contoh, Siew Mei membantu Badri memberikan maklumat berkaitan masalah disiplin pelajar.

6. Kita hendaklah berbincang secara rasional supaya tidak dipengaruhi emosi.
Contoh, Encik Tan terburu-buru memberhentikan Idham iaitu abang Jamil yang bekerja di kedai telefon bimbitnya setelah percaya dengan dakwaan Meng Kong bahawa Idham yang mencuri telefon bimbit dari kedainya.

7. Kita haruslah taat kepada ibu bapa demi kejayaan masa depan.
Contoh, Meng Kong akur dengan tindakan bapanya untuk tinggal di asrama sekolah.

8. Kita hendaklah insaf setelah melakukan sesuatu kesalahan agar tidak terus-menerus mengalami kesusahan.
Contoh, Shahru tidak sedar dan insaf sekalipun terlibat dalam kemalangandan dikenakan hukuman rotan di sekolah oleh pengetua.

Wednesday, April 9, 2014

Faedah Berpersatuan : Skema Jawapan Ringkasan

SKEMA JAWAPAN RINGKASAN.

Senarai isi penting- faedah berpersatuan
1.       Berpersatuan dapat meningkatkan pembabitan belia dalam kegiatan sukarela dan
         kebajikan.

2.        kegiatan berpersatuan mampu membudayakan sikap murni belia selaras dengan
         usaha mewujudkan masyarakat prihatin

3.        Berpersatuan dapat melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana yang 
          harmoni.

4.       Pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan
          keyakinan apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan.

5.        membawa kepada pembentukan peribadi yang lebih berwibawa. 
 

6.       dapat meluaskan pengetahuan dan menambah pelbagai kemahiran diri.

Isi ringkasan mesti sekurang-kurangnya 5 = 10 markah





Contoh jawapan ringkasan:

                                   Antara faedah berpersatuan dalam kalangan belia ialah berpersatuan dapat meningkatkan pembabitan belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan.  Selain itu, kegiatan berpersatuan mampu membudayakan sikap murni belia selaras dengan langkah mewujudkan masyarakat prihatin.  Seterusnya, berpersatuan dapat melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana yang harmoni manakala pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan keyakinan apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan.  Berpesatuan juga membawa kepada pembentukan peribadi yang lebih berwibawa.  Akhirnya, dapat meluaskan pengetahuan dan menambah pelbagai kemahiran diri.
                                                                                                                            (78   patah perkataan)

Faedah Berpersatuan : Skema Jawapan Pemahaman

SKEMA JAWAPAN PEMAHAMAN

i)  Berikan maksud rangkai kata “meminggirkan peranan”,mengikut konteks dalam petikan di atas.  (2 markah)
 
Maksud rangkai kata meminggirkan peranan dalam petikan ialah mengenepikan / mengesampingkan fungsi / tugas.    

ii)  Nyatakan usaha-usaha yang dilakukan untuk mengalakkan golongan belia menyertai kegiatan berpersatuan.  [4 markah]

Usaha-usaha yang dilakukan untuk mengalakkan golongan belia menyertai kegiatan berpersatuan ialah segala perancangan dan dasar yang dibuat kerajaan, belia turut diberi perhatian.  Selain itu, dalam mengimarahkan lagi pembabitan golongan muda dalam persatuan, pertubuhan belia perlu mengorak langkah lebih aktif untuk menarik golongan belia dalam  berpersatuan.  Dalam diri belia pula perlu ditanam bahawa kegiatan berpersatuan sebagai sebahagian ibadat.

iii)  Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak ibu bapa dan sekolah supaya pelajar aktif dalam kegiatan berpersatuan?  [4 markah]

Pada pendapat saya, peranan yang perlu dimainkan oleh pihak ibu bapa dan sekolah supaya pelajar aktif dalam kegiatan berpersatuan ialah ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik dengan menyertai persatuan seperti Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) atau persatuan belia di kawasan-kawasan perumahan supaya anak-anak dapat memahami kebaikan kegiatan berpersatuan.  Selain itu, pihak sekolah pula perlu memberi ganjaran atau hadiah yang bersesuaian kepada pelajar yang menunjukkan prestasi yang baik dalam persatuan seperti Persatuan Bahasa Melayu, persatuan Perdagangan dan Pengguna dan sebagainya supaya pelajar terus berminat dalam aktiviti –aktiviti berpersatuan.

PEMAHAMAN / RINGKASAN : Faedah Berpersatuan

Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah berpersatuan dalam kalangan belia.  Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan.  Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. 


Pelbagai mekanisme boleh dilakukan dalam usaha mengisi erti kemerdekaan negara.  Belia memainkan peranan penting dalam memastikan kemerdekaan terpelihara dan pembangunan negara menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.  Antara kaedah bagaimana belia dapat memastikan kelangsungan pembangunan negara berjalan rancak dan meningkatkan makna kemerdekaan ialah menerusi kegiatan berpersatuan.  Berpersatuan dapat meningkatkan pembabitan belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan.
                Di samping itu, kegiatan berpersatuan mampu membudayakan sikap murni belia selaras dengan usaha mewujudkan masyarakat prihatin.  Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan memberitahu hanya 2.5 juta daripada belia negara ini  yabg berdaftar sebagai ahli dalam pelbagai persatuan belia.  Jumlah itu menunjukkan belia di negara ini tidak gemar menyertai persatuan.  Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa berusaha menggerakkan pelbagai program bagi memupuk minat belia untuk berpersatuan.
                Pihak kerajaan juga tidak pernah meminggirkan peranan yang dimainkan oleh pihak belia dalam pembangunan negara, sebaliknya segala perancangan dan dasar yang dibuat kerajaan, belia turut diberi perhatian.  Dalam mengimarahkan lagi pembabitan golongan muda dalam persatuan, pertubuhan belia perlu mengorak langkah lebih aktif untuk menarik golongan belia dalam  berpersatuan.  Dalam diri belia pula perlu ditanam bahawa kegiatan berpersatuan sebagai sebahagian ibadat.  Berpersatuan dapat melahirkan masyarakat yang hidup dalam suasana yang harmoni.
                Pemimpin pelajar yang aktif berpersatuan ketika di kampus dapat meningkatkan keyakinan apabila menempuh alam pekerjaan mahupun kehidupan.  Kesan daripada berpersatuan membawa kepada pembentukan peribadi yang lebih berwibawa.  Malah berpersatuan dapat meluaskan pengetahuan dan menambah pelbagai kemahiran diri.  Namun, mahasiswa yang aktif dalam persatuan mesti diiringi pencapaian akademik yang cemerlang.  Seterusnya, peranan belia sentiasa penting sama ada ketika menuntut kemerdekaan atau dalam pembangunan  negara pada masa kini.  Sebenarnya, persatuan  belia sejak dahulu memainkan peranan penting dalam membantu pemimpin masyarakat menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Belia Tidak Aktif Rugikan Negara”,oleh Dr. Saipon, Berita Harian, 
 30 April 2011)


Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan berikut:
i)                    Berikan maksud rangkai kata “meminggirkan peranan”,mengikut konteks dalam petikan di atas.                                                                                                   [2 markah]
ii)                   Naytakan usaha-usaha yang dilakukan untuk mengalakkan golongan belia menyertai kegiatan berpersatuan.                                                                                     [4 markah]
iii)                 Pada pendapat anda, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak ibu bapa dan sekolah supaya pelajar aktif dalam kegiatan berpersatuan?                         [4 markah]

Monday, April 7, 2014

ULBS : Wawancara Tokoh Sukan

Melengkapkan Karangan Contoh
Anda wartawan sebuah majalah sukan. Anda ditugaskan menemu ramah seorang tokoh sukan di negara kita. Tulis temu ramah itu selengkapnya.

Farouq:                   Selamat pagi, Encik Gunalan. Saya Farouq, wartawan majalah “SUKAN”. Terima kasih kerana Encik Gunalan sudi meluangkan ________ untuk ditemu ramah.
 
Encik Gunalan:               Selamat pagi. Sebenarnya saya tidak mempunyai apa-apa program khusus pada petang ini. Oleh itu, saya ada sedikit masa __________. Walau bagaimanapun, terima kasih juga kerana _________ menemu ramah saya.
 
Farouq:                         Sama-sama. Baiklah, Encik Gunalan. Bagaimanakah Encik Gunalan mula-mula menceburkan ________ dalam lapangan badminton ini?
 
Encik Gunalan:               Semuanya bermula ketika saya mula menuntut di sekolah rendah. Sekolah rendah saya telah menganjurkan suatu perlawanan badminton. Saya turut _____________ perlawanan tersebut atas dasar untuk suka-suka saja. Dengan tidak disangka-sangka, saya telah menjuarai perlawanan tersebut.
 
Farouq:                         Oh, nampaknya kejayaan yang tidak disangka-sangka pada mulanya telah ______________ kejayaan-kejayaan yang lain!
 
Encik Gunalan:               Ya, begitu nampaknya. Kejayaan yang tidak disangka-sangka membuka _________ kepada saya dalam lapangan badminton seterusnya.
 
Farouq:                         Jadi, sudah berapa lama Encik Gunalan terlibat ______ sukan badminton ini?
 
Encik Gunalan:               Lebih kurang 20 tahun. Saya mewakili negara selama lapan tahun. Kemudian, saya menjadi pengurus _________ negara lebih kurang 12 tahun.
 
Farouq:                         Apakah kejayaan yang telah dikecapi oleh Encik Gunalan setelah hampir 20 tahun berkecimpung dalam sukan badminton ini?
 
Encik Gunalan:               Memang banyak kejayaan yang saya kecapi tetapi kejayaan yang paling besar adalah ketika ___________ Piala Terbuka China dan Denmark pada tahun 1983, 1984, dan 1985. Saya berasa amat bangga kerana telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di ___________ dunia.
 
Farouq:                         Tahniah, Encik Gunalan! Saya percaya, terdapat kenangan pahit manis Encik Gunalan sebagai seorang juara sukan. Apakah kenangan paling manis yang pernah dialami oleh Encik Gunalan?
 
Encik Gunalan:               Oh, memang banyak! Setiap kali menjadi juara merupakan kenangan manis bagi saya. Namun, kenangan paling manis saya ialah semasa saya dinobatkan sebagai “Tokoh Sukan Negara” pada tahun 1985. Saya tidak ____________ menyangka bahawa saya akan mendapat pengiktirafan sedemikian rupa.
 
Farouq:                         Apakah rancangan Encik Gunalan selepas ini?
 
Encik Gunalan:               Saya bercadang untuk membuka sebuah kelab badminton untuk mengajar dan melatih ___________ muda yang berminat dalam sukan badminton. Dengan cara ini juga masa lapang mereka tidak akan dihabiskan dengan sia-sia.
 
Farouq:                         Baguslah kalau begitu, Encik Gunalan. Saya berharap agar Encik Gunalan berjaya. Baiklah Encik Gunalan, terima kasih sekali lagi kerana _______ meluangkan masa bersama-sama saya untuk menjayakan sesi temu ramah ini.
 
Encik Gunalan:               Ya, terima kasih kembali.