Sunday, June 22, 2014

PPT 2014 : Langkah Menangani Buli

LANGKAH MENANGANI MASALAH BULI


Masalah membuli di sekolah patut ditangani dengan segera supaya tidak menjadi barah yang akan merosakkan pelajar dan sistem persekolahan. Isu gejala buli ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar-pelajar malah ibu bapa juga menerima kesannya. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam menangani gejala buli di kalangan pelajar sekolah.

lbu bapa perlu memainkan peranan utama dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak sama ada dalam bentuk nasihat dan contoh yang baik. Seperti yang kita maklum kebanyakan masa anak-anak dihabiskan bersama ibu bapa di rumah. Oleh itu, ibu bapa juga mesti menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak pada setiap masa. Malah, pendidikan berbentuk agama juga penting kepada anak-anak agar mereka dapat berkelakuan baik dengan sesiapa sahaja. Di samping itu, teguran secara berhikmah juga wajar dilakukan kepada anak-anak yang berkelakuan negatif sejak kecil lagi

Peranan media massa juga amat penting dalam membendung masalah buli di kalangan pelajar. Kuasa media massa dalam mempengaruhi minda pembaca memang tidak dapat disangkal lagi. Banyak rencana-rencana yang dapat memberi kesedaran kepada pembaca, khasnya pelajar sekolah boleh disiarkan dalam media massa. Media elektronik pula boleh menyiarkan berita keburukan buli kepada pelajar dan ibu bapa. Oleh itu, pihak media massa mestilah sedar tanggungjawab sosial mereka untuk menangani masalah buli.

Di samping itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam membendung gejala buli. Hal ini kerana apabila seseorang pelajar berada di sekolah, mereka terikat dengan undang-undang dan peraturan sekolah. Sebagai contoh pelajar perlu diingatkan tentang keburukan amalan buli terhadap diri sendiri dan pihak lain. Pelajar-pelajar yang didapati melakukan amalan buli hendaklah segera diberi kaunseling dan pihak sekolah hendaklah memanggil ibu bapa pelajar berkenaan. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah tidak wajar menyembunyikan kes buli di kalangan pelajar daripada pengetahuan pihak Jabatan Pelajaran agar dapat diambil tindakan.

Oleh hal itu, semua pihak haruslah sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.

Thursday, June 19, 2014

PPT 2014 : KRG Wawancara

Karangan Wawancara
Anda berkesempatan mewawancara seorang anggota polis berpangkat inspektor tentang gejala lumba haram yang sering dilakukan oleh remaja pada masa ini.

Tulis wawancara itu selengkapnya.

Saya :
Selamat pagi, Tuan Inspektor Azim Sidek. Saya Razali dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian tuan diwawancara pada hari ini berhubung dengan gejala lumba haram dalam kalangan remaja, untuk dimuatkan dalam majalah sekolah kami.

Inspektor Azim :
Saya juga berterima kasih kepada pihak sekolah kerana mewawancara saya.

Saya:
Bolehkah Tuan Inspektor memberi penerangan lebih lanjut tentang kegiatan lumba haram yang kian menjadi-jadi sekarang?

Inspektor Azim:
Lumba haram merupakan satu bentuk perlumbaan bermotor yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Kegiatan ini biasanya dilakukan pada waktu tengah malam dan salah di sisi undang-undang kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain dan nyawa pelumba itu sendiri. Kegiatan lumba haram ini umumnya melibatkan golongan remaja yang berlumba tanpa menghiraukan keadaan trafik dan tindakan ini amat berbahaya.

Saya:
Apakah faktor yang menyebabkan gejala ini?

Inspektor Azim:
Antara faktor utamanya ialah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja mudah menerima ajakan rakan untuk berlumba kerana ingin dianggap berani. Selain itu, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat akan pergaulan anak-anak juga menjadikan gejala ini berleluasa. Pengaruh filem seperti filem-filem aksi lumba serta penerbitan majalah kenderaan ubah suai, permainan video,  serta komik yang mengetengahkan aksi lumba, turut memainkan peranan. Perkara yang lebih buruk, ada pihak yang menjadi penganjur perlumbaan haram dengan menyediakan hadiah bagi pemenang.

Saya:
Bagaimanakah pihak polis menangani kegiatan lumba haram ini?

Inspektor Azim:
Pihak polis telah meningkatkan rondaan dari semasa ke semasa. Jabatan kami juga kini dilengkapi dengan kereta atau motosikal yang lebih laju dan berkuasa kerana selama ini pihak polis hanya dibekalkan dengan kenderaan talaan kilang yang kurang berkuasa dan tidak cukup laju untuk mengejar pelumba haram.  Kempen pemanduan berhemah turut diadakan di sekolah dan kawasan tumpuan awam. Selain itu, pihak polis juga mengenakan tindakan ke atas penonton perlumbaan haram kerana menggalakkan kegiatan ini.

Saya:
Apakah nasihat Tuan Inspektor untuk menangani kegiatan lumba haram?

Inspektor Azim:
Saya menasihatkan ibu bapa agar mengambil berat terhadap tingkah laku anak-anak untuk memastikan mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat. Masyarakat setempat juga diminta memberi kerjasama dengan melaporkan kegiatan lumba haram yang berlaku di tempat mereka kepada pihak polis. Pihak polis juga mencadangkan agar aktiviti perlumbaan bermotor yang sah seperti Malaysian Cub Prix dan Pesta Pasti Honda diperbanyak untuk menggalakkan remaja menyertainya.

Saya:
Memandangkan masa tidak mengizinkan, saya rasa cukup setakat ini wawancara kita. Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Inspektor kerana sudi diwawancara.

Inspektor Azim:
Sama-sama.


Monday, June 16, 2014

PPT 2014 : Surat Kiriman Tidak Rasmi

SOALAN : Rakan akrab anda yang tinggal di luar negara telah mengutuskan surat kepada anda untuk mengetahui maklumat tentang pelancongan akua di negara anda. Balaslah surat tersebut.

Kepayan Ridge,Blok A9,
Lot 13, Tingkat Bawah,
88300 Kota Kinabalu,
Sabah.

24 April 2014.

Menemui sahabatku Cathy yang berada di Amerika Syarikat. Semoga saudari sekeluarga sihat walafiat di sana. Saya sekeluarga di Malaysia sihat sahaja.

Saudari,
     Surat saudari yang bertarikh 27 Mei 2014 telah selamat saya terima. Ya, Apa khabar saudari sekeluarga di Dallas, Amerika Syarikat? Bagaimana dengan pencapaian akademik saudari di sana? Sudah pasti cemerlang, bukan? Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada saudari kerana meminati  tempat-tempat perlancongan akua di Malaysia.

     Berbalik kepada pertanyaan saudari tentang pelancongan akua di Malaysia, saya akan memperkenalkan Pulau Manukan di Sabah,Malaysia. Di sana saudari akan mendapat peluang untuk menyelam skuba yang pelancong asing sering ingin mencuba. Selain itu, saudari juga berpeluang untuk bermain jet ski, ski air dan lain-lain lagi. Sememangnya saudari pasti tidak akan melupakan pengalaman di sana nanti.

     Selain Pulau Manukan, Pulau Tioman yang terletak di neger Johor merupakan antara pulau yang menarik di Malaysia. Saudari sudah pasti akan terpegun dengan keindahan pemandangan di dasar laut mahupun di pantainya. Saudari juga dapat berjumpa dengan spesies akuatik yang mempesonakan. Aktiviti menyelam, berkayak, menaiki jet ski sentiasa menjadi tumpuan pelancong asing mahupun tempatan.

     Di samping itu, Pulau Sipadan juga antara perlancongan akua yang menarik disebabkan keindahan semula jadi pulaunya serta terumbu karang yang unik. Pulau Sipadan pernah dicalonkan dalam '7 Wonders of the World'. Disebabkan ini, pulau ini kini menjadi tumpuan hangat pelancong asing dan juga pelancong tempatan. Saya jamin saudari pasti akan menikmati seluruh pemandangan di sana.

Sampai di sini sajalah untuk kali ini. Salam daripada saya dan keluarga. Ingin juga mengirimkan salam kepada keluarga saudari di sana. Sekian, terima kasih.

Sahabatmu,
Dexter

Thursday, May 15, 2014

ANTOLOGI HSL : Sajak Orang Tua

SAJAK ORANG TUA :   Puspa Rani a/p Munusamy

Maksud sajak
Rangkap 1: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap nasib seorang wanita tua yangmerempat di tepi jalan dalam keadaan yang tidak terurus. Wanita tua itu berjalan tanpahaluan sambil membawa begnya yang buruk.
Rangkap 2: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap seorang lelaki tua yang begitu daifhidupnya. Lelaki tua itu tiada tempat kediaman. Dia hanya duduk di sudut tanggamenunggu sisa makanan daripada restoran mamak.
Rangkap 3: Penyajak mempersoalkan keprihatinan kita terhadap nasib orang tua yag terlibat dalamkemalangan jalan raya. Lebih memilukan apabila mayatnya tidak dihiraukan dan tiadawaris yang menuntut mayatnya di bilik mayat.
Rangkap 4: Penyajak menjelaskan bahawa kita adalah serupa kerana kita semua ialah makhlukciptaan Tuhan. Yang berbeza antara kita dengan orang tua itu ialah orang tua itu tidakdipedulikan oleh anak-anaknya. Hal ini disebabkan rendahnya moral dan hati budianak-anaknya.

Tema
Tema sajak ini ialah kesengsaraan yang dialami oleh wanita tua akibat diabaikan.

Persoalan
a)Penderitaan hidup warga tua.
b)Sikap anak-anak yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengenang budi.
c)Masyarakat yang mementingkan diri sendiri.

Nada
Sinis

Bentuk
a)Berbentuk bebas
b)Terdiri daripada empat rangkap
c)Berisi enam baris serangkap
d)Bilangan katanya satu hingga enam patah kata sebaris
e)Terdiri daripada satu hingga tiga belas suku kata sebaris
f)Rima akhir rangkap pertama ialah abcdee , rima akhir rangkap kedua ialah abcdce, rima akhir rangkap ketiga ialah abacbb, dan rima akhir rangkap keempat ialah abccda.

Unsur-unsur Bunyi
a)Asonansi (pengulangan vokal a). Contohnya: Nampakkah kau tiada siapa datang menuntutnya.
(pengulangan vokal e). Contohnya: membawa bersamanya beg usang tetapi bezanya mereka diabaikan.
(pengulangan vokal i). Contohnya: mayat si tua dibiarkan di situ.
b)Aliterasi (pengulangan konsonan l). Contohnya: lelaki tua di hujung jalan.
(pengulangan konsonan m). Contohnya: mukanya comot rambutnya kusut.
(pengulangan konsonan t). Contohnya: tanpa suatu destinasi.

Gaya Bahasa
a)Repetisi (pengulangan kata dalam baris ayat yang sama). Contohnya: ayat Nampakkah kau pada baris pertama rangkap 1, 2, dan 3.
b)Sinkope. Contohnya: kau.
c)Peribahasa. Contohnya: mengalas perut.
d)Bahasa puitis. Contohnya: mukanya comot rambutnya kusut.

Nilai
a)Kasih sayang. Contohnya: kasih sayang terhadap kedua ibu bapa perlu disemai agarperasaan tersebut kekal berpanjangan.
b)Mengenang budi. Contohnya: membalas segala jasa yang telah dicurahkan olehkedua ibu bapa.
c)Prihatin. Contohnya, mengambil berat terhadap ibu bapa.

Pengajaran
a)Kita hendaklah memberikan sepenuh kasih sayang terhadap golongan warga emasterutamanya ibu bapa.
b)Kita hendaklah membalas budi kedua-dua ibu bapa kita.
c)Kita janganlah mementingkan diri.
d)Kita janganlah lupa akan jasa ibu bapa.

ANTOLOGI HSL : Sajak Rumput ( Khadijah Hashim )

SAJAK RUMPUT ( Khadijah Hashim )

Maksud Sajak
Rangkap 1: Keluhan insan yang nasibnya diibaratkan seperti rumput. Sebelum sempat untuk bangun dia sudah ditindas oleh seseorang. Sebelum sempat dia menonjolkan kelebihan diri, dia dihina oleh orang lain. Ditambah pula dengan persekitaran yang serba kekurangan dan tidak selesa. Namun demikian, masih ada yang bersimpati dengan kesusahannya.

Rangkap 2: Sebelum sampai hajatnya menunjuk bakat, ada pula yang memperkecil bakatnya tanpa menghiraukan nasib golongan susah demi keuntungan mereka semata-mata.

Rangkap 3: Penyajak menyatakan keluhan orang susah yang tiada apa-apa lebih malang berbanding orang susah yang masih ada tempat berlindung.

Tema
Rintihan nasib seseorang yang dipandang rendah dan dipandang hina.

Persoalan
(a)    Sikap hormat-menghormati sesama insan walaupun terhadap golongan yang kurang berkemampuan. Golongan yang berkedudukan tinggi sering tidak menghormati golongan miskin.
(b)   Penghargaan kepada orang lain. Menghargai bakat seseorang itu walaupun miskin.
(c)    Penindasan terhadap golongan bertaraf rendah. Golongan bertaraf rendah selalu menjadi alat untuk kepentingan golongan atasan.
(d)   Cabaran dalam kehidupan. Walaupun berada dalam kesusahan dan keperitan, kelangsungan hidup perlu diteruskan.

Bentuk
(a)    Sajak ini berbentuk bebas.
(b)   Mengandungi tiga rangkap.
(c)    Baris-baris ayat dan rima akhir:
- Rangkap 1 terdapat 8 baris ayat. Rima akhirnya aaabcddd.
-Rangkap 2 terdapat 6 baris ayat. Rima akhirnya ababcc.
-Rangkap 3 terdapat 2 baris ayat. Rima akhirnya ab.

Unsur-unsur Bunyi
(a)    Asonansi. (pengulangan vokal a). Contohnya: baru saja tangan hendak menari,
(pengulangan vokal i). Contohnya: mujur embun pagi membersih diri,  Nasib rumput di tepi jalan.
(pengulangan vokal u). Contohnya: diserbu debu menutup muka, tak sehijau rumput di padang.
(b)   Aliterasi. (pengulangan konsonan b). Contohnya:  baru saja hendak berbedak.
(pengulangan konsonan n). Contohnya: cuaca panas angin kering.

Gaya Bahasa
(a)    Personifikasi. Contohnya: tangan hendak menari.
(b)   Sinkope. Contohnya: tak.
(c)    Repetisi. Contohnya: frasa baru saja diulang pada rangkap pertama baris 1 dan 3, rangkap kedua baris 1.
(d)   Anafora ( pengulangan kata pada awal baris). Contohnya: cepat panjang cepat dapat wang!
(e)    Simile. Contohnya: bagai menunggu mati, sehijau rumput.

Nilai
(a)    Ketabahan. Contohnya, segala ujian dan rintangan dalam kehidupan dilalui dengan penuh ketabahan.
(b)   Kegigihan. Contohnya, sikap gigih mendorong seseorang untuk berusaha mencapai kejayaan meskipun serba kekurangan.

Pengajaran
(a)    Janganlah kita menghina orang yang susah atau miskin.
(b)   Kita perlu mengamalkan sikap hormat- menghormati, terutamanya terhadap golongan miskin.
(c)    Janganlah kita memandang rendah akan bakat seseorang.
(d)   Janganlah kita menutup peluang orang lain, terutamanya peluang golongan orang susah atau miskin.


Wednesday, May 14, 2014

RINGKASAN / PEMAHAMAN (4) : Kesan Pembakaran Secara Terbuka

RINGKASAN / PEMAHAMAN : Kesan Aktiviti Pembakaran Secara Terbuka

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kesan-kesan aktiviti pembakaran sampah secara terbuka. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Pembakaran secara terbuka sering kali menimbulkan masalah kepada orang ramai. Lebih mengecewakan lagi apabila pemabakaran terbuka itu dilakukan secara sengaja di pusat-pusat pelupusan sampah. Penduduk di kawasan sekitar pastinya berasa tidak selesa apabila terpaksa terus-menerus menghidu bau yang busuk lagi meloyakan. Malangnya kegiatan pembakaran sampah secara terbuka ini seolah-olah tiada penghujungnya kerana tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa kepada syarikat atau pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Keadaan ini ditambah pula dengan kesedaran orang ramai terhadap kesan pembakaran terbuka adalah rendah.

Musibah yang datang daripada pembakaran terbuka tidak terhenti setakat pencemaran bau sahaja malah lebih dahsyat lagi ialah air busuk ammonia yang terhasil di kawasan pelupusan sampah secara terbuka ini menyebabkan aliran air tersebut mengalir ke sungai berdekatan. Sungai yang tercemar seterusnya akan mengundang lebih banyak permasalahan. Penduduk-penduduk yang bergantung hidup kepada sungai untuk mencari rezeki kerap mengeluh kerana hidupan akuatik seperti ikan mahupun udang akan mati apabila air sungai tercemar.

Perbuatan membakar sampah-sarap sama ada secara besar-besaran di tapak pelupusan sampah mahupun dilakukan oleh individu-individu tertentu tanpa disedari mengundang bahaya yang lebih buruk, iaitu jerebu. Pada masa jerebu melanda negara, nampaknya kesedaran umum terhadap kesan pembakaran terbuka kian meningkat dan pembakaran terbuka tidak lagi dilakukan. Namun, apabila negara bebas daripada jerebu, pembakaran terbuka nampaknya berulang kembali.

Sebenarnya pembakaran terbuka secara berterusan khasnya di pusat pelupusan sampah boleh menyebabkan penduduk di kawasan sekitar mengalami batuk, asma dan demam yang berpanjangan terutamanya kanak-kanak dan orang tua. Sewajarnya pihak-pihak tertentu peka terhadap masalah yang melibatkan kesihatan penduduk dengan menutup semua pusat pelupusan sampah yang menggunakan kaedah pembakaran terbuka.

Di Malaysia, kesedaran orang ramai khasnya terhadap kesan pembakaran terbuka nampaknya masih terlalu rendah. Oleh yang demikian, kerajaan perlu menguatkuasakan peraturan atau akta berkaitannya supaya masyarakat sedar bahawa melakukan pembakaran terbuka adalah satu kesalahan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Penduduk Derita Jerebu
Pembakaran Sampah”, Utusan Malaysia, 24 Julai 2007)

Pemahaman
Berdasarkan petikan , jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.
1.Apakah maksud frasa seolah-olah tiada penghujungnya? [ 2 markah ]
2.Mengapakah pembakaran terbuka sukar hendak dihapuskan? [ 4 markah ]
3.Kitar semula mampu mengelakkan pembakaran sampah secara terbuka.
Berikan dua kebaikan amalan kitar semula. [ 4 markah ]

JAWAPAN MODUL RINGKASAN / PEMAHAMAN
Ringkasan – Kesan pembakaran sampah sarap

Antara kesan pembakaran terbuka ialah penduduk di kawasan sekitar berasa tidak selesa kerana terpaksa menghidu bau yang busuk lagi meloyakan. Air busuk ammonia di kawasan pelupusan sampah menyebabkan aliran air tersebut mengalir ke sungai berdekatan. Tambahan pula, pencemaran sungai menjadikan hidupan akuatik seperti ikan mahupun udang akan mati. Pembakaran terbuka mengakibatkan jerebu sementara sampah sarap yang bertaburan di tepi jalan menimbulkan suatu pemandangan yang menjijikan. Penduduk di kawasan sekitar selalu mengalami batuk, asma dan demam yang berpanjangan terutamanya kanak-kanak dan orang tua. ( 82 patah perkataan )

Pemahaman
1. Rangkai kata ‘seolah-olah tiada penghujungnya’ bererti seperti tiada kesudahan.

2. Pembakaran terbuka sukar dihapuskan kerana tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa kepada syarikat atau pihak yang bertanggungjawab. Di samping itu, kurangnya kesedaran orang ramai terhadap kesan pembakaran terbuka juga mengakibatkan masalah tersebut sukar dihapuskan.

3. Kebaikan kempen kitar semula ialah bahan-bahan buangan dapat diuruskan dengan lebih teratur kerana dapat digunakan semula. Selain itu, pencemaran alam akibat pembuangan barangan terpakai dapat dikawal melalui kempen kitar semula.

RINGKASAN / PEMAHAMAN (3) : Punca-Punca Remaja Merokok

Punca-Punca Remaja Merokok

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca remaja merokok. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Keprihatinan banyak pihak tentang bahaya merokok menyebabkan pelbagai usaha dijalankan untuk membendung gejala negatif ini daripada terus mempengaruhi para remaja. Kebanyakan remaja terutamanya pelajar sekolah mengakui bahawa mereka merokok lantaran pengaruh daripada rakan sebaya. Sikap terikut-ikut dengan tabiat tidak sihat ini seterusnya akan menghanyutkan mereka sehingga merasakan bahawa merokok itu bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup.

Tidak kurang juga yang secara jujur mengakui bahawa rasa bosan dengan beban tugas sebagai pelajar telah mendorong mereka menghisap rokok. Jika alasan ini dikaji, ternyata kebanyakan pelajar ini merupakan mereka yang malas dan ada yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M). Oleh itu, mereka dengan mudah menuding jari kepada pihk lain. Ibu bapa menjadi sasaran untuk dipersalah kerana dikatakan bahawa ibu atau bapa yang merokok akan menyebabkan anak-anak mengikut jejak langkah mereka.

Walaupun kita lihat banyak iklan mahupun kempen tidak merokok dijalankan namun remaja tetap remaja. Naluri ingin tahu yang ada pada mereka acapkali mendorong mereka mencuba sesuatu yang ditegah. Naluri ini jika tidak dikawal akan mengakibatkan rasa ketagihan dan rasa seronok apabila dapat menghisap rokok.

Di Malaysia rokok boleh didapati dengan mudah dan boleh dibeli walaupun Cuma sebatang. Keadaan ini menjadikan tabiat merokok semakin berleluasa kerana dengan harga serendah empat puluh sen, pelajar sekolah sudah boleh membeli rokok. Memandangkan longgarnya penguatkuasaan terhadap penjualan rokok, kerajaan masih mengambil langkah-langkah pencegahan supaya masalah remaja merokok dapat diatasi.

Amatlah malang seandainya remaja beranggapan bahawa mereka akan lebih bergaya dan kelihatan lebih dewasa apabila merokok. Alasan ini ternyata salah kerana merokok sebenarnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan sebaliknya mengundang ketagihan yang berpanjangan.
(Dipetik dan diubahsuaian daripada Fokus, September 2004)

Pemahaman

Berdasarkan petikan , jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.
1.Apakah maksud rangkai kata menuding jari kepada pihak lain? [2 markah]
2.Mengapakah penjual rokok tidak mematuhi arahan kerajaan agar tidak menjual rokok kepada remaja? [4 markah]
3.Cadangkan dua langkah untuk mencegah remaja daripada merokok. [4 markah]

JAWAPAN MODUL RINGKASAN DAN PEMAHAMAN

PRAKTIS 1
Ringkasan- Punca-punca remaja merokok

Antara punca remaja merokok adalah disebabkan terpengaruh oleh rakan sebaya yang merokok. Mereka juga beranggapan bahawa merokok bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa mereka bosan dengan beban tugas sebagai pelajar. Di samping itu, remaja juga menyalahkan ibu bapa kerana dikatakan menjadi pendorong kepada mereka untuk merokok walaupun secara tidak langsung. Naluri ingin tahu yang ada pada remaja juga memungkinkan mereka merokok. Seperkara lagi, penguatkuasaan terhadap penjualan rokok menyebabkan masalah ini semakin serius. ( 79 patah perkataan )

Pemahaman
1.Rangkai kata ‘menuding jari kepada pihak lain’ bermaksud menyalahkan orang lain.

2. Penjual rokok tidak mematuhi arahan kerajaan agar tidak menjual rokok kepada remaja bawah umur kerana tidak memahami bahawa mereka juga perlu menjalankan tanggungjawab sosial. Penjual rokok hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan hasrat kerajaan untuk melahirkan remaja yang sihat.

3. Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang melarang remaja merokok di tempat-tempat awam. Media massa perlu membuat publisiti secara meluas tentang implikasi negatif akibat aktiviti merokok.