Monday, April 7, 2014

ULBS : Wawancara Tokoh Usahawan

Seorang usahawan muda telah menempa nama dalam perusahaan perabot. Sebagai wartawan sebuah majalah, anda diarahkan untuk mewawancara usahawan yang berkenaan. Isi wawancara itu ialah tentang kegiatannya dalam bidang perusahaan perabot dan rancangan-rancangannya pada masa akan datang. Tulislah wawancara anda itu selengkapnya. ***

Saya telah mendapat arahan daripada ketua editor untuk mewawancara seorang usahawan muda yang telah berjaya menghasilkan perabot-perabot dan krafrangan hingga mendapat pasaran luar negeri.

Yang berikut ialah isi wawancara saya dengan usahawan tersebut, iaitu Encik Teo  Hing Seng.

Pemberita : Selamat sejahtera, Encik Teo.

Encik Teo : Selamat sejahtera. Silakan duduk.

Pemberita : Terima kasih. Terlebih dahulu rubuan terima kasih saya ucapkan kerana kesudian Encik  Teo untuk diwawancara. Bagaimanakah Encik Teo mula melibatkan diri dalam bidang pembuatan perabot dan kraftangan ini?

Encik Teo : Sebenarnya, cita-cita saya ialah menjadi arkitek. Walau bagaimanapun, setelah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni halus dan perabot di Itali, saya terpaksa melupakan cita-cita itu. Setelah menamatkan pengajian, minat saya untuk membuka perniagaan sendiri dalam bidang ini begitu mendalam. Oleh sebab itulah, saya memberanikan diri untuk membuka perniagaan dalam bidang ini.

Pemberita : Bagaimanakah timbulnya minat Encik Teo untuk melibatkan diri dalam bidang ini?

Encik Teo : Pada mulanya saya kurang meminati bidang ini, tetapi setelah mengikuti pengajian dalam bidang ini dan setelah melihat keindahan dan kehalusan pada barang-barang perabot dan kraftangan, saya tertarik untuk mengusahakannya sendiri.

Pemberita :  adakah Encik Teo sendiri yang membuka perniagaan ini?

Encik Teo : Pada mulanya bukan saya seorang saja yang terlibat dalam perusahaan ini. Saya dibantu oleh tiga orang sahabat yang secara kebetulan mempunyai minat yang sama seperti saya. Walau bagaimanapun, selepas setahun hanya tinggal saya seorang yang menguruskan perniagaan ini sepenuh masa. Sahabat-sahabat saya telah membuka perniagaan masing-masing. Kini, perniagaan ini saya miliki sepenuhnya. Saya dibantu oleh lima orang pekerja.

Pemberita :  Apakah masalah yang Encik Teo hadapi ketika memulakan perniagaan ini dahulu?

Encik Teo :  Masalah utama ialah mendapatkan modal yang secukupnya. Namun begitu, masalah ini dapat saya atasi melalui pinjaman bank. Masalah-masa lain termasuklah persaingan dengan pengusaha perabot yang lain, kesukaran mendapatkan tenaga kerja yang mahir dan kreatif, dan pasaran yang terhad juga. Namun demikian, masalah-masalah tersebut dapat saya atasi secara beransur-ansur.

Pemberita :  Saya yakin bahawa banyak orang yang kagum akan kejayaan Encik Teo . apakah rancangan-rancangan Encik Teo pada masa yang akan datang?

Encik Teo :  Saya bercadang untuk mengeksport perabot dan kraf tangan yang saya usahakan ini ke luar negeri. Saya bercadang juga untuk mengajak pengusaha-pengusaha perabot dan kraf tangan yang lain bergabung tenaga untuk menjayakan rancangan ini.

Pemberita :  Adakah Encik Teo yakin bahawa rancangan ini akan berjaya dan mendapat sambutan daripada masyarakat di luar negeri?

Encik Teo : Ya, saya yakin. Hal ini demikian kerana perabot-perabot yang saya hasilkan adalah daripada kayu-kayan yang bermutu tinggi. Selain itu, saya percaya bahawa seni ukirnya yang halus dan reka bentuknya yang unik akan menarik minat masyarakat luar untuk membeli perabot yang saya usahakan ini.

Pemberita :  Selain mengeksport perbot ke luar negeri, apakah rancangan lain yang mungkin dijalankan?

Encik Teo :  Saya bercadang juga untuk membuka cawangan kedai perabot di negara-negara Asia, khususnya di Filipina, Brunie Darussalam, Jepun, dan Korea Selatan. Saya bercita-cita juga untuk memperluas pasaran perabot ini hingga ke Amerika syarikat dan negara-negara Eropah.

Pemberita :  saya mendapati bahawa Encik Teo mengutamakan perabot yang berbentuk tradisional dan antik. Tidakkah Encik Teo bercadang untuk mengusahakan perabot moden pula?

Encik Teo :  Pada masa ini, saya lebih mengutamakan perabot berbentuk tradisional dan antik kerana sambutan yang diberikan untuk perabot-perabot  ini sungguh baik. Namun demikian, saya bercadang juga untuk mempelbagaikan reka bentuk perabot tersebut pada masa akan datang.

Pemberita :  Akhir sekali, apakah pesanan Encik Teo kepada pembaca majalah ini?

Encik Teo :  Saya berharap agar mereka yang meminati bidang ini akan mengusahakannya dengan sungguh-sungguh. Mereka perlu menjadi lebih kreatif juga. Tegasnya, kegigihan seseorang itu akan menentukan kejayaannya dalam apa-apa bidang sekali pun.

Pemberita :  Nampaknya setakat ini saja wawancara kita kali ini. Terima kasih sekali lagi kerana Encik Teo sudi meluangkan masa untuk diwawancara.

Encik Teo :  Sama-sama.

Wawancara saya dengan Encik Teo berakhir pada kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Selepas itu, saya pulang ke pejabat untuk menyiapkan rencana tersebut

Thursday, April 3, 2014

MR : Kajian Latar ( Masa/Tempat/Masyarakat )

Latar Tempat

 i Tepi tasik
• Badri berjoging untuk latihan pertandingan bola sepak

ii. Pondok kecil
• Shahrul, Kumar dan Meng hong duduk berbincang tentang aktiviti menjual telefon bimbit dan kad prabayar.
iii. Rumah Badri
• Ibu Badri iaitu Mak Siti menyediakan sarapan pagi.

iv. Tempat menunggu bas
• Badri dan Badrul menunggu bas untuk ke sekolah

v. Blok C bagunan sekolah
• Tempat Badri bertugas sebagai pengawas sekolah pada hari yang ditetapkan.

vi. Tandas sekolah
• Badri disimbah air ketika berada di dalam tandas.

vii. kelas 5 Bestari
• Jamil dan Badri belajar bersama-sama.

viii. Kedai telefon bimbit Encik Tan
• Idham, abang Jamil bekerja sebagai pembantu kedai.

ix. Stor dan kedai telefon bimbit
• Meng Kong mencuri telefon bimbit

x. Rumah Pak alang
• Badri ke rumah pak alang.

xi. Kompleks beli-belah
• Tempat lepak Shahrul, Kumar dan Meng Kong.

xii. Resort Jamil
• Badri dan Jamil bertemu semula setelah Badri menjadi doktor .

Latar Masa
i. Pagi
• Mak Siti memasak nasi lemak dan sambal sotong

ii. Waktu selepas rehat
• Para pengawas diberikan kelonggaran untuk makan selepas tamat waktu rehat kerana bertugas pada waktu rehat.

iii. Selepas waktu sekolah
• Shahrul, Kumar dan Meng Kong melepak di kompleks beli-belah.

iv. Hari Sabtu
• Meng Kong pergi ke kedai telefon bimbit bapanya untuk membantu.

v. Pukul 4.00 petang
• Badri sampai ke pasar raya untuk menemui Siew Mei.

vi. Petang
• Shahrul berkumpul dengan budak-budak motor.

Latar Masyarakat
i. Masyarakat yang prihatin terhadap anak
Contoh, Encik Tan menguruskan kemasukan anaknya, Meng Kong ke asrama supaya Meng Kong berdisiplin dan berjaya dalam peperiksaan.

ii. Masyarakat yang bijak menguruskan masa
Contoh, Badri dan Badrul berada di tempat menunggu bas seawal pukul 6.40 pagi agar tidak tertinggal bas.

iii. Masyarakat pelajar yang rajin belajar
Contoh, Badri, Siew Mei dan Taufik bersungguh-sungguh mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.

iv. Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap tugas
Contoh, Badri sebagai seorang pengawas membuat rondaan di kawasan sekolah pada setiap pagi.

v. Masyarakat guru yang tegas dan adil
Contoh, Cikgu Jalani dapat menyelesaikan masalah disiplin pelajar dengan berkesan.

vi. Masyarakat pelajar yang terjebak dengan gejala sosial
Contoh, Shahrul, Kumar dan Meng Kong melepak di kompleks beli-belah dan Shahrul bercampur dengan budak-budak motor.

vi. Masyarakat yang bekerjasama menyelesaikan masalah
Contoh, Lokman dan badri bekerjasama untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti Shahrul dan Kumar.

vii. Masyarakat yang emosional
Contoh, Shahrul cepat melenting apabila ditegur.

MR : Binaan Plot & Teknik Plot

BINAAN PLOT

Permulaan
Pengarang memperkenalkan watak utama, Badri yang baru menyandang jawatan pengawas sekolah. Pada bahagian ini juga diperkenalkan watak Badrul iaitu adik kepada Badri yang cuba mengusik abangnya tentang jawatan pengawas yang baru disandang abangnya. Badri merasakan tanggungjawab menjadi pengawas sekolah merupakan tanggungjawab yang berat yang harus digalasnya.

Perkembangan
Pada bahagian ini diperkenalkan watak Jamil yang merupakan rakan baik Badri tetapi mereka berbeza dari segi prinsip hidup. Kehadiran seorang pelajar baru Siti Cahaya Nadira menjadi satu pertelagahan antara Badri dan Jamil tetapi berakhir dengan perdamaian. Peristiwa Badri disiram air ketika berada di dalam tandas tidak melemahkan semangatnya untuk berusaha mencari pelakunya dan akhirnya pelajar yang terbabit dapat ditangkap dan diserahkan kepada guru disiplin. Siew Mei menceritakan aktiviti haram Meng Kong menjual telefon bimbit dan kad prabayar kepada pelajar sekolah. Jamil turut terlibat dalam aktiviti tersebut. Hubungan Badri dengan Jamil semakin renggang kerana Jamil merahsiakan perkara tersebut daripada Badri. Shahrul dan rakan-rakan lumba haram telah diserbu oleh polis ketika Shahrul keluar dengan Nadira. Idham, abang kepada Jamil diberhentikan kerja oleh Encik Tan kerana Meng Kong menuduh Idham mencuri telefon bimbit di kedai bapanya. Masalah kecurian telefon bimbit telah dapat dikesan melalui CCTV yang dipasang di kedai dan di stor milik Encik Tan. Jamil menghilangkan diri tanpa dapat dijejaki oleh Badri kerana keluarga Jamil merahsiakan keberadaan Jamil.

Klimaks
Encik Tan, bapa Meng Kong berjumpa pengetua untuk menyelesaikan masalah telefon bimbit yang telah dirampas oleh pihak sekolah. Beliau juga memohon agar anaknya ditempatkan di asrama sekolah agar anaknya berdisiplin dan memberikan tumpuan terhadap pelajaran.

Encik Tan meminta maaf kerana anaknya telah menyusahkan murid-murid dan guru-guru di sekolah tersebut. Encik Tan juga meminta anaknya, Meng Kong agar memohon maaf kepada pengetua astas kesalahan yang dilakukan.

Meng kong, Shahrul dan Kumar dipanggil ke bilik pengetua dan dikenakan hukuman 3 rotan setiap seorang.

Kumar ditangkap oleh Badri dan Taufik ketika cuba memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg Meng Kong tujuannya supaya Meng Kong dibuang dari asrama.

Peristiwa mengejutkan apabila cikgu Jailani menemui telefon bimbit di dalam beg Badri.

Peleraian
Meng Kong berjaya ditempatkan di asrama dan telah berubah sikap begitu juga dengan Kumar yang telah insaf dengan kesalahan yang dilakukannya.

Badri, Siew Mei, Taufik, Nadira dan Kumar telah menduduki peperiksaan SPM manakala Sahrul mengambil peperiksaan di hospital akibat kemalangan.

Badri dan Siew Mei mendapat 9A manakala Taufik memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM.

Badri melanjutkan pelajaran di Ireland dalam bidang perubatan dan menjadi doktor yang akan bekerja di Hospital besar Kuala Lumpur.

Jamil melanjutkan pelajaran dalam bidang hotel dan pelancongan dan berjaya membuka resort di terengganu manakala Shahru dan Kumar melanjutkan pelajaran di politeknik mengambil kursus kemahiran memperbaiki kereta sehingga berjaya membuka bengkel kereta.

Shahrul telah berkahwin dengan Nadira. Nadira membuka sebuah butik dengan kelulusan diploma fesyen di UITM yang dimilikinya.

Siew Mei berjaya menjadi seorang doktor gigi. Badri dan rakan-rakannya berjaya merenang gelora dalam kehidupan mereka.

TEKNIK PLOT

Pemerian -
Badri tidak mengendahkan usikan adiknya. Dia menyuap nasi lemak dan mengunyahnya perlahan-lahan.

Dialog -
” Kalau Badrul buat salah, abang jangan tangkap”, usik Badrul lagi.

Imbas kembali -
Jamil menjelaskan kehilangannya dari sekolah kerana berpindah ke Sarawak ketika bertemu semula dengan Badri di resort Jamil.

Imbas Muka -
Kumar mengandaikan sekiranya Meng Kong mengambil telefon bimbit dari kotak baharu ayahnya pasti akan mengesyaki sesuatu.

Saspens -
Kehilangan Jamil di sekolah tidak dapat dijejaki oleh Badri. Kejutan - Shahrul dan rakan-rakannya terkejut apabila Badri tiba-tiba muncul di pondok tempat mereka berbincang tentang jualan telefon bimbit.

Monolog dalaman
Shahrul mengucapkan terima kasih kepada Badrul dalam hatinya .

Thursday, February 27, 2014

PT : Hikayat Seri Kelantan


Hikayat Seri Kelantan 

Sinopsis
Seorang raja bernama Encik Siti yang memerintah negeri kelantan ataupun namanya ketika itu ialah Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Beliau merupakan seorang perempuan yang mampu memerintah sebuah negeri yang sangat besar kerajaannya dengan adil dan bijaksana. Namun, Encik Siti ini tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai suami. Encik Siti telah mendengar kabar berita bahawa ada seorang anak raja Jembal yang sangat baik rupanya dan baginda berhajat mahu mengambil anak tersebut daripada Raja Jembal sebagai anak angkat kerana baginda sangat menginginkan seorang anak disebabkan baginda tidak mempunyai anak. Oleh itu Raja Jembal telah menyerahkan anaknya ynag bernama Puteri Sa’dung kepada Encik Siti. Encik Siti sangat menyayangi Puteri Sa’dung dan apabila puteri itu membesar, beliau mempunyai rupa paras yang sangat cantik dan menjadi dambaan para lelaki. Namun, En Siti telah mengambil langkah menjodohkan Puteri Saadong dengan Raja Abdullah iaitu anak Raja Jembal. Niat En Siti adalah mahu mencari seseorang bagi menggantikan tempatnya sebagai raja sekiranya baginda meninggal dunia. Majlis perkahwinan Puteri Sa’dung dan Raja Abdullah dijalankan selama empat puluh hari empat puluh malam.

Setelah berkahwin En Siti menyerahkan takhta negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kepada Sultan Abdullah dan En Siti juga berpindah dari istana tersebut dan membina kerajaan baru. Namun, ada sebuah kerajaan di Siam yang rajanya sangat suka dan berahi kepada Puteri Sa’dung kerana beliau mendengar cerita tentang kecantikan yang dimiliki oleh Puteri Sa’dung. Raja kerajaan negeri Siam telah mengarahkan beberapa orang suruhannya termasuk seorang ahli nujumnya yang bernama Tuk Cha untuk datang ke kerajaan Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung bagi mengambil Puteri Sa’dung kerana raja Siam sudah tidak mampu menahan nafsunya terhadap Puteri Sa’dung lagi.

Setelah sampai di negeri Tanah Serendah Kebun Bunga, seorang orang suruhan dari Siam datang untuk bertemu dengan Sultan Abdullah untuk menyatakan hasrat mereka datang kemari dan mengambil Puteri Saadong untuk dibawa kepada Raja Siam. Oleh kerana mendengar kata-kata orang suruhan kerajaan Siam itu, Sultan Abdullah sangat marah dan menghalau orang suruhan tersebut dari istana dan orang suruhan Siam kembali ke kapal dengan perasaan sangat malu. Esoknya, orang Siam telah meyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga bagi mengambil Puteri Sa’dung. Namun, dengan kuasa yang ada negeri Tanah Serendah Kebun Bunga berjaya berpindah dari kawasan sebenar ke tengah hutan. Akibatnya, orang Siam tidak dapat mencari negeri tersebut namun dengan bantuan Tuk Cha beliau berupaya menjumpai semula negeri itu. Sekali lagi negeri itu diserang.

Sultan Abdullah yang tidak mampu menahan serangan itu akhirnya mengambil tindakan pergi bertemu dengan Tuk Cha dan bertanyakan apa sebabnya mereka tidak habis-habis menyerang negeri itu dan setelah diberitahu oleh Tuk Cha, Sultan Abdullah pulang dengan perasaan yang sedih kerana menurut Tuk Cha, mereka mahu mengambil isteri Sultan Abdullah iaitu Puteri Sa’dung untuk dibawa kepada raja mereka. Setelah mendapati suaminya sudah pulang dari kapal Siam, Puteri Sa’dung bertanyakan kepada suaminya apa sebabnya dan Sultan Abdullah menyatakan bahawa tentera Siam mahu mengambil Puteri Sa’dung untuk dibawa ke Siam. Atas rasa bertanggungjawab terhadap rakyat dan mendengar titah suaminya Puteri Sa’dung terpaksa bersetuju untuk dibawa ke Siam.

Setelah sampai di Siam, Raja Siam telah cuba untuk meniduri Puteri Sa’dung namun belum sempat raja Siam mendekati Puteri Saadong, beliau sempat meludahi di bahagian dada raja Siam. Akibatnya, raja Siam terkena penyakit kayap yang tidak dapat diubati. Setelah mendengar perkabaran daripada Tuk Cha bahawa penyakit kayap raja Siam akan sembuh apabila raja Siam berjauhan dengan Puteri Sa’dung lalu raja Siam mengambil tindakan menghantar semula puteri itu ke negaranya. Setelah Puteri Sa’dung dihantar semula penyakit yang menimpa raja Siam kembali sembuh.

Setelah sampai di negaranya Puteri Sa’dung mendapat tahu bahawa Sultan Abdullah telah berkahwin lain selepas pemergiannya ke negeri Siam. Akibatnya, Sultan Abdullah tidak mahu menerima Puteri Sa’dung semula lalu berlaku pergaduhan antara mereka yang mengakibatkan kepala Puteri Sa’dung dipenggal oleh Sultan Abdullah dan meninggal dunia. Oleh kerana rasa bertanggungjawab inang-inang telah membawa Puteri Sa’dung dan mengubatinya dengan menggunakan air renjisan mawar yang berada dalam sanggul Puteri Sa’dung. Selepas itu, Puteri Sa’dung hidup semula dan beliau sangat marah dengan Sultan Abdullah dan akhirnya Puteri Sa’dung berjaya membunuh Sultan Abdullah. Setelah itu Puteri Sa’dung meninggalkan istana kota Jelasin dan mencari kawasan baru untuk membina sebuah negeri. Setelah itu, Puteri Sa’dung menyerahkan takhta negeri itu kepada adik iparnya Raja Ibrahim. Namun pemerintahan negeri itu mula bergolak kerana rajanya sangat zalim terhadap rakyat dan ada juga rajanya yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keamanan negara. Oleh itu, raja negerinya mula bertukar ganti sehingga berlaku pertempuran dan saudara di Kelantan. 

SAJAK Fragmen Sebuah Kehidupan

Sajak : Fragmen Sebuah Kehidupan




Tema :
Dadah membawa kemusnahan kepada banyak pihak




    Nada :
    Sinis 

      Maksud : 
      Rangkap 1 : Dadah merupakan musuh utama negara yang merosakkan jiwa dan menyebabkan kematian.

      Rangkap 2 : Dadah membawa keburukan kepada banyak pihak seperti negarawan, seniman, olahragawan, jutawan, sasterawan, bijak pandai dan pejuang.

      Rangkap 3 : Dadah telah menghancurkan institusi keluarga. Sejarah telah membuktikan bahawa Empayar Melaka jatuh angkara dadah.

      Rangkap 4 : Dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran dan dugaan, penulis memohon kepada Allah agar diberikan kekuatan iman. 
      Matlamatnya agar cita-cita untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang maju akan tercapai.

      Rangkap 5 : Nasihat penulis ialah masih banyak cabaran yang menanti pada masa akan datang. Oleh itu, mereka perlulah bijak memilih jalan yang betul dan menghindari jalan yang salah.

      Persoalan :  

      • Kerosakan jiwa dan kematian akibat dadah.
      • Penyalahgunaan dadah mampu merosakkan pelbagai lapisan masyarakat.
      •  Peranan generasi muda dalam membangunkan negara
      • Kekuatan iman mampu menangkis pengaruh negatif
      • Kebijaksanaan dalam memilih antara yang baik dengan yang keji.





      Nilai :
      • Rasional : Bijak memilih jalan yang baik dan menghindari jalan yang keji.
      • Bertanggungjawab : Mempunyai kesedaran untuk memberikan nasihat kepada rakan-rakan agar berwaspada dalam kehidupan.
      • Patriotisme : Berusaha untuk memajukan negara dan tidak mahu dadah menghancurkan negara.
      • Ketakwaan : Memohon petunjuk daripada Tuhan.




        Pengajaran : 
      • Sejarah keruntuhan sebuah empayar dalam kancah penyalahgunaan dadah yang akan membawa kehancuran.
      • Kita perlulah berusaha sambil memohon pertolongan daripada 
      • Tuhan.
      •  Kita perlulah menasihati rakan-rakan agar tidak menjadi mangsa dadah.
      • Kita perlulah gigih berusaha untuk memajukan negara.
      • Kita perlulah memilih haluan hidup yang betul.                                      

      Gaya Bahasa :
      • Anafora – frasa : adalah dadah itu
      • Metafora – lorong hidup, lorong hitam, laut masa depan
      • Sinkope – kau, mu, ku

      • Inversi – adalah dadah itu perosak jiwa, angkara dadah telah mati seorang sasterawan
      • Simile – seperti tercatat dalam sejarah

      • Digg
      •  
      • Del.icio.us
      •  
      • StumbleUpon
      •  
      • Reddit
      •  
      • RSS

      KRG : Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja

      Masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Semakin hari, masalah ini semakin berleluasa. Nyatakan punca-punca timbulnya masalah sosial dan bagaimanakah kita boleh mengatasinya.

      Pendahuluan:
      Masalah sosial dalam kalangan remaja masa kini makin berleluasa. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita tentang masalah sosial remaja dipaparkan di muka akhbar mahupun di kaca televisyen. Antara masalah sosial remaja masa kini ialah merempit, ragut, curi motosikal, menagih dadah dan pergaulan bebas.

      Punca-Punca:
      1. Pengaruh rakan sebaya – tersalah pilih kawan – terjerumus dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah dan memudaratkan diri – tidak ada benteng ketahanan diri – berasa seronok berada dalam kelompok kawan yang mampu memberi kegembiraan.
      2. Pengaruh media massa – sama ada media cetak atau media elektronik -dipaparkan dengan filem-filem atau cerita-cerita ganas dan berunsur seks- filem dan bahan tidak bermoral boleh didapati dengan mudah – remaja yang melihat akan terpengaruh, meresap dalam diri dan cuba untuk melakukannya.
      3. Masalah dalam keluarga – pertengkaran ibu bapa, kurang kasih sayang, bebanan tugas – remaja tertekan dan emosi terganggu – ambil jalan keluar dengan lari dari rumah, mengikut kawan-kawan, mengambil dadah dan sebagainya – sebagai usaha meredakan tekanan dalam diri.
      4. Perasaan ingin mencuba – jiwa remaja yang penuh dengan emosi sangat suka kepada sesuatu yang baru – apabila melihat rakan dapat melakukan aksi / membuat sesuatu yang menyeronokkan mereka akan terikut-ikut. Seperti aksi merempit, hubungan seks dan sebagainya.
      5. Kurang didikan agama – remaja hari ini kurang menghayati didikan agama – mereka tidak takut kepada dosa – mereka tidak takut kepada balasan hari akhirat – mereka lebih pentingkan keseronokkan walaupun bertentang dengan nilai dan agama – masyarakat pula mengamalkan budaya lihat dan pandang tetapi ada usaha menegur.

      Cara Mengatasi :
      1. Memberi didikan agama dan moral yang secukupnya – anak mampu membenteng diri mereka daripada pelbagai pengaruh – anak-anak akan berasa bersalah melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai agama – secara tidak langsung akan menolak gejala buruk yang datang kepada mereka.
      2. Ibu bapa memberi kasih sayang secukupnya kepada anak-anak – anak-anak rasa diri mereka dihargai dan disayangi – mereka akan menjaga maruah diri, maruah ibu bapa dan maruah keluarga – bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya.
      3. Penguatkuasaan oleh pihak berkuasa – tindakan terhadap media massa yang menyiarkan bahan atau filem berunsur ganas dan seks yang boleh mempengaruhi jiwa remaja. Garis panduan yang lebih telus dan jelas digubal untuk memastikan tiada filem atau bahan yang boleh merosakkan jiwa remaja.
      4. Menggubal dan meminda undang-undang – tindakan lebih berat sebagai pengajaran kepada pihak yang cuba mengekploitasi remaja untuk kepentingan diri – tindakan terhadap remaja yang terlibat sebagai pengajaran kepada rakan-rakan lain.
      5. Mengadakan kempen kesedaran untuk remaja – mengingatkan remaja tentang impak negatif atau kemudaratan yang akan mereka perolehi jika terlibat dengan masalah sosial seperti penyakit, kecederaan, kematian dan kemusnahan hidup.

      Penutup :
      Remaja adalah pewaris bangsa. Pemuda adalah harapan bangsa dan pemudi ialah tiang regara. Semua pihak harus memainkan peranan untuk mengurangkan masalah sosial yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

      Sunday, February 23, 2014

      TBHS Kata Kerja

      Kata Kerja Bahasa Melayu
      Definisi:

      Kata kerja yang dalam bahasa Arabnya dipanggil al-fi`l ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Frasa kerja terdiri daripada kata kerja yang boleh disertai beberapa unsur lain seperti kata bantu, objek, pelengkap, ayat komplemen, dan keterangan (Nik Safiah Karim et al 1996: 139).

      Jenis Kata Kerja:
      Kata kerja sebagai satu golongan kata boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu:

      a. Kata kerja tak transitif: kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. Ia dapat dibahagikan kepada dua subgolongan, iaitu:

      • Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap : kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa objek atau penyambut seperti dalam contoh-contoh yang berikut:
      o Semua orang pulang.
      o Adik saya masih tidur.
      o Pemuda itu tersenyum.
      o Padi sedang menguning.
      o Mereka asyik berbual.
       
      Kata kerja tak transitif ini boleh diikuti oleh unsur keterangan, yang berfungsi memberi maklumat tambahan. Lihat contoh-contoh di bawah:
      o Semua orang pulang pada waktu petang.
      o Adik saya masih tidur di serambi.
      o Padi sedang menguning di sawah.
      o Pemuda itu tersenyum seorang diri.
      o Mereka asyik berbual di kedai kopi itu.

      • Kata kerja tak transitif berpelengkap: kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif dan boleh pula mengalami proses pasif. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap adalah seperti yang berikut:
      o Keadaan bapanya beransur baik.
      o Mereka tidak berbuat jahat.
      o Mereka tinggal di Kampung Paya.
      o Pengembara itu berselimutkan embun.
      o Dia menjadi guru.

      Perkataan yang bergaris dalam contoh-contoh di atas ialah kata kerja tak transitif, sementara perkataan yang hadir selepasnya ialah pelengkap. Sekiranya pelengkap digugurkan, ayat-ayat yang terhasil tidak sempurna. Ayat-ayat itu juga tidak boleh dipasifkan. Unsur-unsur yang menjadi pelengkap ini boleh terdiri daripada beberapa jenis, iaitu kata adjektif, frasa sendi nama, dan kata nama. Lihat contoh-contoh di bawah:
       Lukanya beransur baik (kata adjektif).
       Badannya menjadi lemah (kata adjektif).
       Kereta itu membelok ke kiri (frasa sendi nama).
       Keluarga saya berada di kampung (frasa sendi nama).
       Kami tidur berbantalkan lengan (kata nama).
       Kakaknya menjadi doktor yang terkenal (kata nama).

      b. Kata kerja transitif: kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya (Ibid: 143). Kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

      • Kata kerja transitif aktif : kata kerja yang menerima awalan meN- dengan atau tanpa akhiran –kan atau –i. Lihat contoh-contoh di bawah:
      o Murid-murid sedang membaca buku.
      o Saya sedang memasak nasi.
      o Kami memasukkan buku-buku itu ke dalam almari.
      o Pegawai itu tidak mengabaikan tugasnya.

      • Kata kerja transitif pasif : kata kerja hasil daripada proses transformasi atau perubahan ayat aktif menjadi ayat pasif. Lihat contoh-contoh yang berikut:
      o Buku sedang dibaca oleh murid-murid.
      o Nasi sedang saya masak.
      o Buku-buku itu kami masukkan ke dalam almari.
      o Tugasnya tidak diabaikan oleh pegawai itu.

       Selain imbuhan meN-, ...-kan/i yang wujud dalam kata kerja transitif aktif, awalan ter- juga boleh hadir dalam kata kerja demikian, misalnya terlanggar, terminum, terpijak, dan tertelan. Contoh dalam ayat:
      • Kereta itu terlanggar pagar sekolah.
      • Saya terpijak tangannya
      • Peladang itu terminum racun rumpai.
      • Umar tertelan duit siling.

      Bentuk Kata Kerja:

      Kata kerja dalam bahasa Melayu terdiri daripada empat bentuk, iaitu:

      1. Kata kerja tunggal : kata yang terbentuk tanpa imbuhan. Dalam bahasa Melayu, terdapat lebih kurang 80 kata kerja yang boleh hadir sebagai predikat tanpa imbuhan. Kebanyakan kata kerja ini bersifat tidak transitif. Antara contohnya ialah: ada, balik, ikut, jaga, pulang, datang, gagal. Hancur, keluar, tahu, mara, dan terbang. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:
      a. Murid-murid itu balik ke rumah.
      b. Pelawat sekolah saya belum datang lagi.
      c. Burung terbang dipipiskan lada.
      d. Ibu saya lahir di Madinah.

      2. Kata kerja terbitan: kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan, iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar dan melahirkan perkataan-perkataan terbitan (Ibid: 146). Kata kerja bahasa Melayu dibentuk melalui imbuhan awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Awalan yang membentuk kata kerja terbitan dalam bahasa Melayu ialah meN- (memasak, menanti, menyala, memesan, menyalin, menyinar, memberi, membantu, mempelopor, mempelawa, menderu, menduga, menternak, mentertawakan, menggali, menggulung, mengkaji, mengecat, mengelap, mendayung, melombong), beR- (berangkat, berikut, berfikir, berlari, berasa, berenang, beraja, berbuah, berkereta, berbuat, berjalan, bercukur), teR- (terikat, terambil, terasa, terendam, tersergam, terserlah, terbeli, terpijak, tersandar, terdiam), di- (disapu, ditulis, digulai, diserkap, dihukum), mempeR- (memperalat, memperoleh, memperbesar) dan dipeR- (diperalat, diperoleh, diperisteri). Akhiran kata kerja ialah –kan (bukukan, carikan, lahirkan, besarkan) dan –i (contohi, duduki, baiki, sudahi) Apitan kata kerja pula ialah meN-..-kan ( merundingkan, memfatwakan, mentakrifkan, mengelakkan, mengecamkan), beR-...-kan (beralaskan, berajakan, bertilamkan, berukirkan), beR-...-an ( berebutan, berkiriman, berterbangan, bermaafan, berkasihan), di-...-kan (diberikan, dinafikan), meN-...-i (merindui, mempercayai, menziarahi, mengawasi), di-...-i (dikotori, dibatasi, diyakini), memper-...-kan (memperisterikan, memperdengarkan, memperbahaskan), memper-...-i (menghalusi, menyetujui, menguasai, membaiki), ke-...-an (kedengaran, kepanasan, kehujanan), diper-...-kan (diperisterikan, diperdengarkan ), dan diper-...-i (diperingati, dipersuami, diperisteri). Sisipan kata kerja adalah seperti –el- (jelajah – berjelajah – menjelajah), -er- (serabut – berserabut, kerelap – berkerelap), -em- (gemuruh – bergemuruh, gemerlap – bergemerlap).

      3. Kata kerja majmuk: terdiri daripada dua morfem bebas atau lebih. Kebanyakan kata majmuk dalam bahasa Melayuterdiri daripada golongan kata nama. Contoh: kemas kini, terima kasih, kenal pasti, campur aduk, ambil alih, lipat ganda, tunjuk ajar, tolak ansur. Hanya terdapat satu bentuk kata kerja yang penggunaannya sudh dianggap mantap (dieja satu perkataan) , iaitu beritahu. Apiatan dieja bercantum seperti (satu padu – bersatu padu, menyatupadukan), (urus niaga – mengurusniagakan), (latar belakang – berlatarbelakangkan). Kata nama menerima awalan, deja bercantum (kerjasama – bekerjasama, tanggungjawab – bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan).

      4. Kata kerja ganda: diterbitkan melalui proses penggandaan, iaitu proses yang menggandakan hanya kata dasar tanpa melibatkan sebarang imbuhan. Dalam proses demikian kata dasar mengalami penggandaan penuh atau penggandaan separa. Kata dasar juga boleh digandakan secara berentak, iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu dalam kata dasar(Ibid: 207).
      a. Penggandaan penuh: proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar. Contohnya: (gelak = gelak-gelak), (geleng = geleng-geleng), (tergelak-gelak, berpusing-pusing).
      b. Penggandaan separa: proses yang menggandakan sebahagian daripada kata dasar. Contohnya : berlari-lari, menari-nari, mencari-cari, terlonjak-lonjak.
      c. Penggandaan berentak: proses yang menggandakan kata dasar berdasarkan rentak bunyi tertentu dalam kata dasar. Contohnya: bolak-balik, mandi-manda, mundar-mandir, huyung-hayang, tungkus-lumus, cerai-berai, gotong-royong, ulang-alik, bergotong-royong, membeli-belah, bertungkus-lumus.

      Aspek Makna Imbuhan Kata Kerja Melayu:

       1. Aspek makna awalan meN-
      • Kata kerja yang terbentuk daripada awalan meN- ialah kata kerja yang mendukung maksud melakukan sesuatu, sama ada kata kerja itu kata kerja transitif atau tidak. Penggunaan kata kerja dengan awalan meN- boleh menerbitkan dua makna, iaitu sama ada melakukan perbuatan atau menyatakan keadaan.
      o Bagi makna melakukan perbuatan, perkataan yang termasuk dalam kategori ini boleh dipecahkan kepada bahagian khusus mengikut maksud tertentu seperti yang berikut:
       Mengeluarkan suara, seperti mengaum, mencicit, mengiau.
       Melakukan sesuatu, seperti menggoreng, menggulai, menumis
       Mencari atau mengumpulkan sesuatu, seperti merotan, merumput, mendamar.
       Menuju sasaran, seperti melaut, mendarat, menepi.
       Berlaku seperti atau menyerupai sesuatu, seperti mengekor, membusut, membukit.
      o Bagi makna menyatakan keadaan, terdapat dua pecahan, iaitu:
       Hidup sebagai, seperti menjanda, menduda.
       Menjadi, seperti memucat, memutih, memanjang.

      2. Aspek makna awalan beR-
      • Pada dasarnya perkataan-perkataan yang berawalan beR- ialah kata kerja yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar. Namun begitu, terdapat juga pengertian-pengertian khusus, bergantung pada golongan-golongan perkataan tertentu. Perbincangan tentang aspek makna pada perkataan yang berawalan beR- akan dibuat mengikut jenis golongan kata dasar yang bergabung dengannya, iaitu sama ada kata kerja, kata nama atau kata adjektif.

      o beR- yang bergabung dengan kata kerja..
      beR- yang memberi makna melakukan perbuatan dengan maksud seperti yang terkandung dalam kata dasar. Contohnya, bertukar, berlari, berkayuh, berunding, berundur.
      beR- yang memberi pengertian refleksif, iaitu perbuatan yang melibatkan atau mengani diri sendiri. Contohnya, bercukur, berhias, berjemur, bersembunyi, bersandar.
      beR- yang memberi pengertian perbuatan bersalingan, iaitu saling melakukan perbuatan yang terkandung dalam kata kerja. Contohnya: bertumbuk, bertemu, berjanji, berkelahi, berlaga.
      beR- yang memberi pengertian suatu keadaan yang sudah sedia berlaku, yang mirip dengan perbuatan pasif. Bahkan, dalam penggunaan pengertian itu, kata kerja yang berawalan beR- ini dapat bertukar ganti dengan awalan di-. Contohnya: bertulis (sedia ditulis), berhidang (sedia dihidang), berjawab (sedia dijawab), bersusun (sedia disusun), berjahit (sedia dijahit). Penggunaan bentuk beR- dengan pengertian ini lazimnya hendaklah didahului oleh kata bantu aspek belum atau sudah / telah.

      o beR- yang bergabung dengan kata nama.
      beR- yang membawa makna mempunyai. Contohnya: berbaju, berumah, berpelajaran, beristeri, berhak.
      beR- yang membawa pengertian memakai atau menggunakan. Contohnya: berkasut, berkereta, berbedak, berbasikal, berbahasa.
      beR- yang membawa pengertian mengerjakan atau mengusahakan sesuatu. Contohnya: bersawah, berkebun, berladang, berkedai, berotan.
      beR- yang membawa pengertian menghasilkan atau mengeluarkan sesuatu. Contohnya: berbuah, bertelur, beranak, bertunas, berakar.
      beR- yang membawa pengertian meminta bantuan daripada. Contohnya: berguru, berdukun.

      o beR- yang bergabung dengan kata adjektif.
      beR- yang membawa pengertian berada dalam keadaan, seperti bergembira, bersukacita, berduka, bersedih, bermuram
      beR- yang membawa pengertian memperoleh, seperti beruntung.

      o beR- yang bergabung dengan kata tugas.
       beR- yang membawa pengertian menjadi, seperti bersatu.
       beR- yang membawa pengertian bilangan dalam kumpulan, seperti berdua, berlima.
       beR- yang membawa pengertian bersama-sama, seperti berserta.
       beR- yang membawa pengertian mendapat, seperti beroleh.

      3. Aspek makna awalan teR-
      • Perkataan-perkataan yang menerima awalan teR- membentuk kata kerja yang membawa pelbagai pengertian. Antaranya:
      o teR- yang membawa pengertian tak sengaja bagi kedua-dua kata kerja transitif aktif (termakan racun, tersepak batu) dan transitif pasif (terlanggar oleh lori, terpijak oleh Ali, terambil oleh bapa).
      o teR- yang membawa pengertian keupayaan, seperti terangkat batu yang besar, terbaca tulisan yang buruk itu.
      o teR- yang membawa pengertian dalam keadaan tersedia, seperti tersusun, terhidang, tertutup, terbentang.

      4. Aspek makna awalan di-
      • Tidak terdapat makna khusus pada awalan di- selain pembentuk kata kerja pasif untuk orang ketiga.
      5. Aspek makna awalan mempeR-
      • Awalan memper- apabila digabungkan dengan segelintir kata dasar daripada golongan kata nam membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan sebagai maksud perbuatan kata dasar dan sering membawa maksud kiasan. Contohnya: memperalat, memperdaya, memperbudak, memperhamba.